Khamis, 22 Januari 2009

Bersamamu......

Salam para pembaca,

Pada hari ini saya terbangkit untuk menulis mengenai nasib rakyat Malaysia di negara ini. Saya terpanggil menulis mengenai tajuk ini selepas melihat rancangan TV "Bersamamu" di TV3. Apabila saya meilhat kedaifan terhadap keluarga itu, saya terpanggil kenapa perkara ini berlaku?

Persoalan banyak yang timbul di kepala saya, salah satu persoalan yang timbul adalah bagaimana TV3 boleh jumpa keluarga yang daif ini padahal keluarga ini tinggal di Masai, Johor dan bukan berada di Sri Petaling? Persoalan yang kemudiannya, dimana ketua kampung, JKKK, Ahli ADUN, Ahli Parlimen? Adakah mereka tidak memantau perkara ini? Adakah selepas menang pilihan raya dan telah dilantik mejadi YB dan jawatan mereka duduk senang lenang di pejabat? Bukankah itu salah satu tugas mereka menolong orang yang susah? Dengan memegang jawatan sebagai wakil rakyat adakah tidak mengerti maksud itu?

Saya bukan hendak menyalahkan perkara ini 100% kerana ini melibatkan penduduk kampung itu sendiri dan keseluruhan kerajaan dalam membasmi kemiskinan tegar. Jika kerajaan Malaysia tiada duit saya rasa tidak patut kerana saya percaya keuntungan dari pungutan cukai dan pungutan zakat amat besar jumlahnya. Dibawah ini saya catatkan beberapa jumlah pungutan zakat setiap negeri:

1. Selangor - RM 222 juta (http://www.selangorkini.com.my/my/info-terkini/95)
2. Pahang - RM 32.5 juta (http://www.zakatpahang.com.my/news_item.asp?NewsID=234)
3. Melaka - RM 5,557,975.63 (http://www.mohdalirustam.com/?p=79)
4. Kuala Lumpur - RM143.3 (http://zakat.com.my/laporan/bulanan/kutipan_tahunan.htm)
5. Negeri Sembilan - RM33,797,056.18 (http://www.zakatns.com.my/v2/Analisis/Tahun2008.html)
6. Perak - RM 57,016,676.56 (http://www.maiamp.gov.my/)
7. Kedah - RM 40,025,418.66 (http://www.zakatkedah.com/data_hasil.asp)
8. Johor - RM 73,321,840.60 (http://www.maij.gov.my/utama.htm)

Jika dilihat pada maklumat ini, boleh dilihat berapa banyak jumlah duit yang boleh diagihkan kepada orang-orang yang memerlukan duit zakat ini. Kerana zakat ini tujuan utama ini adalah membangunkan ekonomi orang Islam dan membantu orang Islam yang berada dalam kesusahan. Tetapi apa yang menghairankan di manakah duit itu dan kenapa masih ada lagi rancangan "Bersamamu"? Ini yang amat pelik bagi saya.

Jika di zaman Khalifah dahulu, khalifah ini di siang hari ia bekerja untuk rakyat dan malam hari pergi mencari fakir miskin untuk diagihkan sumbangan tanpa perlu publisiti dan penghargaan orang. Sehinggakan ada diantara fakir miskin itu tidak tahu bahawa yang sedang memberi sumbangan itu adalah seorang khalifah. Namun apa yang jadi dengan pemimpin kita sekarang, jika hendak memberi sumbangan perlu ada media yang membuat liputan dan pengikut supaya ia diberi penghargaan. Namun kejadian ini yang berlaku di negara kita, amatlah sedih.

Sekian sahaja penulisan saya pada hari ini,

Wasalam.

Tiada ulasan: