Isnin, 29 Jun 2009

Pemergian Mikaeel Jackson



Salam Pembaca,



Berita kematian Michael Jackson @ Mikaeel Jackson telah mengejutkan dunia dan kematiannya masih menjadi tanya tanya kepada peminat diseluruh dunia. Setelah berjaya melakar beberapa kejayaan dan dilanda beberapa kontroversi yang menyebabkan turun naik kariernya dalam bidang nyanyian.

Bagi aku, beliau adalah seorang idola yang mempunyai karisma dan kadang2 bila terlihat semula konsert2 dan videoklipnya. Aku terfikir bagaimana seorang yang bernama Michael Jackson boleh memukau begitu ramai peminat sehingga beliau boleh untung berjuta-juta dari sesebuah konsert dan album. Sehingga ada yang sanggup belajar untuk meniru tarian dan gaya hidup beliau. Aku pun tidak terkecuali dalam meminati lagu-lagu MJ yang telah menjadi hits sepanjang zaman.

Namun, apa yang menyedihkan adalah apabila kita melihat jenazah beliau yang masih diseksa kerana masih dalam siasatan. Bagi aku, benda ini biasa la kerana bagi negara luar mereka sanggup tidak menanam mayat semata-mata untuk mendapat insurans yang banyak dan aset yang ditinggalkan berbillion-billion kepada keluarga beliau.

Mengenai pengebumian beliau, aku juga tertanya-tanya adakah ia akan dilakukan dalam upacara Kristian atau Islam. Ini kerana ada yang mengatakan MJ telah memasuki Islam pada November 2008 dan telah disaksi oleh beberapa orang termasuk abangnya dan beberapa komposer yang telah memasuki Islam di London. Namun bagi aku, ini semua perlu dijelaskan semula agar ia tidak dikelirukan oleh media asing yang sentiasa mengutuk dan mengaibkan seseorang yang bernama Islam.



P/S: Semoga roh MJ sentiasa diberkati oleh Allah s.w.t dan dimasukkan dalam golongan orang yang beriman.

Laksana PPSMI 'tidak beretika'

Pautan: http://www.malaysiakini.com/news/107357

Tidak wajar sesuatu dasar pendidikan negara – seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) – diputuskan berasaskan emosi dan persepsi, tanpa kajian dan perancangan rapi, kata menteri besar Johor."Adalah salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya," kata Datuk Abdul Ghani Othman.

"Tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang membentuk dasar pendidikannya secara mendadak, tanpa memikirkan kepentingan murid dan kesediaan guru, melainkan Malaysia."Abdul Ghani, juga pengerusi Permuafakan Badan Ilmiah Nasional (Pembina), mengulas dasar kontroversi tersebut sewaktu merasmikan kolokium mengenai PPSMI anjuran NGO itu di Shah Alam pagi tadi. Ucapan ringkasnya itu dibacakan oleh Pengerusi Eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin. Turut hadir, Prof Diraja Ungku Aziz dan seniman Datuk Jins Samsudin.

Abdul Ghani juga berkata, Pembina berpendirian bahawa sebarang perubahan dasar pendidikan mestilah dibuat berdasarkan perancangan rapi, tidak secara tiba-tiba, serta berlandaskan fakta dan data yang sah.Tambahnya, kajian badan tersebut – yang disokong ahli akademik dari tujuh universiti awam – mendapati PPSMI menyebabkan berlakunya "kepupusan generasi akibat bertambah ramai murid gagal (dalam matapelajaran) Sains dan Matematik" di pelbagai peringkat.

Sementara Ungku Aziz dalam ucapannya selepas itu menyifatkan masalah dalam sistem pendidikan berlaku disebabkan terlalu banyak kompromi pemimpin politik."Banyak pemimpin politik luar dan dalam kabinet tentu hendak mencari kompromi. Orang politik suka berkompromi. Bila banyak komporomi, dia tidak boleh berpikir dengan rasional. "Tambahan lagi, orang politik hendak cepat.

Bagi saya, jalan singkat tidak ada," katanya yang kerap bercerita dan berjenaka dalam ucapannya.Ungku Aziz menegaskan, tindakan kerajaan memperkenalkan PPSMI enam tahun lalu sebagai "tindakan gila" kerana Matematik menggunakan "bahasa simbol" – melalui angka, nombor dan penggunaan rumus tertentu."Apa bahasa matematik? Bahasa simbolik, angka, semua simbol. Matematik ini bahasa simbolik. Kalau guna bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, pilih bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, (itu tindakan) gila. "Kalau hendak belajar bahasa Inggeris dengan bahasa matematik, bagaimana boleh belajar?" katanya di hadapan 150 pendidik sekitar Selangor.

Selain menyokong saranan Pembina supaya PPSMI dimansuhkan di semua peringkat, Ungku Aziz mencadangkan masa pengajaran bahasa diajar secara tetap tiga hingga empat jam seminggu, selain menggunakan kaedah pembelajaran terkini."Masa untuk belajar bahasa tidak cukup. Itu kunci kepada semua sekali, perkara pokok sekali. Dalam sistem pembelajaran di sekolah rendah, menengah dan universiti, masa untuk belajar bahasa itu diberi sedikit sahaja. "Pendekatannya pun salah. Banyak orang (pemegang) PhD bawa teori lapuk sepuluh tahun lalu. Dia lupa, apa dia belajar dulu orang lain sudah tukar (hari ini)," katanya.

Pembina pertama kali mengedarkan dan membentangkan kajian PPSMI mereka kepada umum hari ini. Dokumen itu pernah diedarkan kepada peserta Kongres Melayu ke-2 penghujung Mac lalu di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur.Selain laporan itu setebal 200 halaman, dua lagi kajian berhubung pelaksanaan dasar kontroversi itu yang dihasilkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) turut dibentangkan.

Selasa, 23 Jun 2009

Membela PKM dan Chin Peng

Penulis: Lee Ban Chen
Pautan: http://www.malaysiakini.com/columns/105923

Dua puluh tahun dahulu, perjanjian damai Haadyai ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM), maka perang saudara ditamatkan, dan bermulalah suatu proses persefahaman yang menguntungkan perpaduan nasional dan pembangunan negara.

Antara lain, sumbangan PKM dalam perjuangan kemerdekaan akhirnya diakui kerajaan. Datuk Rahim Noor, bekas ketua polis negara dan ketua rombongan perunding masa itu mengumumkan bahawa sumbangan PKM dalam perjuangan kemerdekaan tidak dinafikan atau diperkitaikan oleh kerajaan.

Di samping itu, menurut Darshan Singh Khaira - peguam Chin Peng, Fasal 3.1 perjanjian damai itu menyatakan anggota PKM yang telah meletakkan senjata dan ingin kembali ke kampung halaman mereka di Malaysia dibenarkan berbuat demikian secara bebas.

Dengan kata lain, jika perjanjian damai diterima bulat oleh kerajaan, Chin Peng sewajarnya dibenarkan kembali ke Malaysia bersama-sama kawan-kawan seperjuangannya 20 tahun dahulu!

Oleh kerana permohonan Chin Peng untuk kembali ditolak oleh kerajaan, beliau terpaksa mengambil tindakan undang-undang melalui mahkamah. Mahkamah di semua peringkat hingga Mahkamah Persekutuan sama-sama tegas agar Chin Peng kemukakan surat kelahiran dan kewarganegaraannya untuk membuktikan beliau diperanakkan di sini.

Permintaan ini mustahil untuk Chin Peng, kerana dokumen-dokumen tersebut sudah hilang dalam huru-hara peperangan. Hakikat Chin Peng dilahirkan di Setiawan, Perak diketahui umum di dalam dan luar negeri, dan sanak-saudaranya dengan senang saja dapat menjadi saksi untuk memberi keterangan di mahkamah.

Rasanya permintaan mahkamah hanya merupakan alasan untuk menafikan hak Chin Peng untuk menetap di Malaysia berasaskan prinsip jus soli.

Pada 21 Mei, pengerusi Citizens International, SM Mohamed Idris merayu kepada kerajaan supaya membenarkan Chin Peng pulang atas alasan-alasan berikut:

  • Melalui perjuangannya menentang imperialisme, penjajahan dan penindasan, beliau telah membawa kehormatan dan maruah kepada negara dan rakyat kita;
  • Telah menjadi fakta sejarah yang sahih bahawa perjuangan yang dibawa oleh gerakan pembebasan pimpinan Chin Peng, Rashid Mydin, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dan lain-lain telah menyumbang ke arah kemerdekaan Malaya;
  • Sumbangan gerakan ini diiktiraf sendiri oleh mantan perdana menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Tun Abdul Ghafar Baba, seorang lagi mantan timbalan perdana menteri;
  • Perjanjian PKM dengan kerajaan Malaysia pada 1989 membenarkan bekas pemimpin gerakan gerila itu pulang ke tanahair dan menetap, kerajaan digesa menghormati butiran perjanjian tersebut.
  • Beberapa bekas pemimpin kanan PKM seperti Abdullah C.D., Shamsiah Fakeh dan Musa Ahmad telah dibenarkan oleh kerajaan untuk kembali, malah menetap di Malaysia.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Dr Teng Hock Nan menyokong saranan Citizens International dan turut menggesa agar kerajaan mengkaji semula keputusan menolak permohonan Chin Peng berasaskan semangat kemanusiaan, demi mengenang jasanya dalam proses memperjuangkan kemerdekaan Malaya.

Rayuan mereka berasaskan kerasionalan dan keadilan, dan sesuai dengan butiran dan semangat perjanjian Haadyai 1989.

Malangnya Dr Teng telah dijadikan kambing hitam oleh beberapa golongan berkepentingan politik yang cuba mengapi-apikan sentimen anti-komunis dan kebencian kaum, mereka cuba menyimpang tumpuan orang ramai terhadap kebuntuan politik mereka.

Seperti biasa, Utusan Malaysia tampil untuk mengorkestrakan gelombang anti-komunis, dan dalam beberapa hari saja, kita kembali dalam suasana seolah-olah ketakutan menjelang Operasi Lalang apabila sesiapa sahaja boleh dicap komunis atau pelampau dan ditahan bawah undang-undang ISA.

Menteri Penerangan, Komunikasi, Seni dan Kebudayaan, Rais Yatim mengancam akan mengambil tindakan terhadap blog-blog yang dianggap menyebarkan “ideologi komunis”, dan mahu sentimen yang menganggap komunisme mempunyai nilai-nilai nostalgia dan positif dilupuskan sama sekali dalam pemikiran seluruh rakyat Malaysia.

Rais seolah-olah masih terbelenggu dalam mind-set anti-komunis zaman perang dingin. Kepada beliau, PKM masih dianggap sebagai musuh sungguhpun perjanjian damai telah ditandatangani selama 20 tahun!

Dalam sebuah negara demokrasi, siapakah berhak untuk menegah orang lain daripada mengenang dan menyanjung pengorbanan dan perjuangan masa silam mereka yang membanggakan, atau bertafakur dan mengambil iktibar daripada pengalaman-pengalaman dan kejadian-kejadian lepas?

Tidak kira kamu seorang konservatif, beragama, liberal, radikal atau berlatarbelakangkan sebarang fahaman politik atau ideologi lain, kamu mempunyai hak-hak kemanusiaan terhadap kebebasan-kebebasan bersuara, pemikiran, kepercayaan dan keyakinan.

Dengan kata lain, bekas ahli-ahli PKM, termasuk Mat Amin, dan mereka yang masih percaya ada nilai-nilai positif dalam komunisme/Marxisme, atau apa-apa isme sekalipun, mereka juga berhak mempunyai blognya sendiri (seperti ruang siber menempatkan beribu-ribu blog seperti ini).

Mereka harus dibenarkan berblog, jika mereka hanya menggunakan komputer dan patuh kepada undang-undang siber negara kita, bukan melancarkan perjuangan bersenjata terhadap negara.

Kutukan Rais terhadap komunisme secara tuntas menjelang kunjungan rasmi Perdana Menteri Najib Razak ke negara komunis China adalah tidak wajar dan melanggar kesusilaan diplomatik, terutamanya apabila hubungan setiakawan dan ekonomi kedua-dua negara sedang meningkat ke tahap kerjasama strategik.

Menteri Pertahanan Dr Ahmad Zahid Hamidi juga tiba-tiba terhidu semacam ada usaha yang berbau komunis cuba hidupkan di negara kita. Saya tidak pasti gerangan apa yang dimaksudkan Zahid sebagai “ideologi dan nilai-nilai komunisme” yang amat abstrak itu.

Kini, kita hidup dalam dunia di mana semua ideologi dan nilai sedang mengalami perubahan yang pesat. Tanpa diberi definisi yang tepat, tuduhan beliau itu boleh ditafsirkan dengan sesuka hati untuk tujuan memomokkan orang ramai.

Bagaimanapun, jika sengaja dikaitkan pihak-pihak seperti Gerakan, DAP, PAS, PSM dan seterusnya – yang pernah mengakuri sumbangan PKM dalam memperjuangkan kemerdekaan negara kita – sebagai ingin menghidupkan semula komunisme di negara kita, maka mungkin Rais dan Zahid sendiri juga tidak percaya!

Zahid tidak setuju Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia, beliau berpendapat jika Chin Peng kembali, ia merupakan penghinaan terhadap keluarga hampir 50,000 anggota pasukan bersenjata penjajah British dan kerajaan Malaysia yang maut semasa era darurat di Malaya.

Bercakap bagi pihak British, bukan bagi pihak PKM yang memperjuangan kebebasan nasional, membuktikan Zahid mengabdikan diri kepada kepentingan penjajah.

Perlu juga Zahid menerangkan kenapa bilangan kematian pasukan bersenjata British dan kerajaan Malaysia diperbesar-besarkan sehingga 50,000, sedangkan ahli sejarah pernah menganggarkan jumlah itu kurang daripada 2,000 bagi anggota pasukan bersenjata British dan kerajaan yang gugur dalam perang, dan kematian pasukan PKM pula mencecah 7,000.

Dua perkara penting berikut perlu dijelaskan. Pertama, dalam mana-mana perang sekalipun, tentu ada kematian dan kesengsaraan bagi kedua-dua pihak yang terlibat, cerita satu pihak saja tentu tidak adil kepada pihak yang satu lagi.

Padahal, dalam perang berjangka panjang seperti dalam perang anti-Jepun, perang pembebasan anti-British dan perang saudara selepas British meninggalkan negeri kita, jumlah kematian pihak PKM sebenarnya lebih beberapa kali ganda berbanding dengan jumlah kematian pihak British dan kerajaan Malaysia.

Di samping itu, beribu-ribu ahli dan penyokong PKM telah digantung mati, dipenjarakan, diseksa dan dibuang negeri. Rumah-rumah penduduk desa dimusnahkan, dan mereka dipaksa untuk pindah ke khemah-khemah tahanan (kampung-kampung baru) di merata negeri.

Kenapa kesemua pengorbanan dan kesengsaraan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PKM dan penduduk-penduduk desa tidak disebut langsung oleh media-media arus perdana dan menteri-menteri berkaitan?

Yang kedua, kita perlu membezakan antara perang adil dengan perang tidak adil. Jelas sekali, perang anti-Jepun dan perang anti-British yang dilancarkan PKM adalah perang adil untuk mempertahankan negara dan rakyat.

Oleh itu, mereka adalah patriot tulen, jasa-jasa mereka yang membanggakan ini patut dicatat dalam buku sejarah di peringkat persekolahan kita. Mereka yang berperang sebagai proksi British tidak berhak untuk menuntut simpati daripada rakyat.

Mungkin kamu akan bertanya: kenapa PKM masih berperang selepas British meninggalkan Malaysia? Mereka sebenarnya terpaksa meneruskan perang kerana inisiatif mereka untuk mencapai perjanjian damai di Rundingan Baling pada 1955 telah digagalkan oleh penjajah British dengan meletakkan prasyarat PKM mesti menyerah diri.

Jawaban Chin Peng ialah: “Jika kamu menuntut kami serah diri, kami rela melawan hingga orang terakhir!” PKM padahal tidak meminta lebih daripada apa yang pernah Tunku Abdul Rahman tawarkan.

Saya petik daripada memoir Chin Peng yang telah diterbitkan:

“Memandang lurus merentangi dua meja, saya katakan, dulu Tunku pernah sebut jika perjuangan bersenjata kami dihentikan, parti kami akan diberi kedudukan setaraf agar kami dapat memperjuangkan kemerdekaan melalui cara perlembagaan. Namun syarat-syarat pengampunan sekarang tidak mengandungi perkara tersebut.” (alias Chin Peng, My Side of History, halaman 379)

Jadi, siapa yang harus disalahkan, Chin Peng atau Tunku?

Ahad, 21 Jun 2009

Lawatan Lee Kuan Yew

Pautan: http://kadirjasin.blogspot.com/2009/06/lawatan-lky-fahami-yang-tersurat-dan.html

MELIHAT
kepada laporan media massa, saya rasa tidak keterlaluan kalau saya ibaratkan lawatan bekas Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Kuan Yew ke Malaysia sekarang seperti lawatan seorang Maharaja China. Sungguh istimewa sambutannya.

Tetapi ia sebenarnya lebih hebat kerana Maharaja China tidak pernah membuat lawatan ke luar negara sebab mengikut kepercayaan orang China dahulu kala, hanya bumi China bertamadun dan manusia di luar Empayar China adalah orang liar (barbarians) dan orang tidak beragama (heathens).

Kalau tidak silap saya, hanya Pu Yi , Maharaja terakhir China yang menjadi boneka Jepun yang pernah melawat ke luar negara.

Mengapa saya berkata begitu? Lihat sajalah siapa yang membuka pintu rumah dan hati mereka kepada Menteri Mentor Singapura itu – Yang di-Petuan Agong, Perdana Menteri, Sultan-Sultan, Menteri-Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Dalam Utusan Malaysia hari ini saya tengok tiga Naib Presiden Umno begitu “sopan” bergambar dengan beliau.

Terlintas di fikiran saya adakah seorang negarawan Malaysia seperti Tun Dr Mahathir Mohamad akan mendapat penghormatan dan keistimewaan yang serupa kalau beliau melawat Singapura?

Tentunya tidak. Di Singapura tidak ada Raja. Di Singapura tidak ada Kerajaan Negeri Pas, DAP atau PKR. Di Singapura hanya ada Kerajaan PAP. Di Singapura tidak ada berbagai parti. Di Singapura ada PAP saja. Singapura adalah sebuah negara demokrasi yang tidak ada pembangkang. Lihatlah apa yang mereka buat kepada pembangkang!

Tapi tak apalah. Bukankah kita ini bangsa yang sangat menghormati tetamu apatah lagi orang tua seperti LKY yang datang untuk mengubati nostalgia?

Pembaca blog ini yang muda mungkin tidak tahu dan yang tua pula mungkin sudah lupa bahawa LKY pernah menjadi warganegara Malaysia dan pernah menjadi Ahli Parlimen Malaysia antara tahun 1963 dan 1965.

Saya tidak tahu secara langsung apa yang tersirat dan tersurat dalam lawatan itu kerana tidak dijemput menghadiri sebarang pertemuan atau taklimat mengenainya. Tetapi saya yakin LKY pastinya tidak menjelajah Semenanjung Malaysia sekadar untuk bernostalgia dan mengubati rindu.

Pada pandangan saya, LKY dengan rombongan anak muridnya menjelajah Semenanjung atas tujuan dan sebab berikut:

1. Singapura bimbang dengan perkembangan politik di Malaysia, khasnya kelemahan Umno/Barisan Nasional dan kemungkinan kemunculan Pas sebagai parti induk politik Malaysia;

2. Singapura bimbang sokongan orang bukan Melayu, khasnya pengundi Cina, kepada Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan kedudukan dan peranan Pas;

3. Kalau boleh, LKY mahu mempengaruhi masyarakat Cina Malaysia supaya kembali menyokong BN;
LKY sedar bahawa Malaysia yang stabil adalah penting kepada kestabilan politik dan ekonomi Singapura;

4. Dengan suasana Ekonomi Harimaunya dalam keadaan yang sangat lemah, Singapura perlu berbaik-baik dan berpakat dengan semua negara jiran;

5. LKY sedar bahawa pembatalan rundingan isu-isu tertangguh antara kedua-dua negara seperti Perjanjian Bekalan Air, Tanah Keretapi Tanah Melayu di Singapura dan simpanan rakyat Malaysia dalam Tabung Simpanan Pusat (CPF) Singapura akan menjejaskan perhubungan jangka panjang; dan

6. Singapura masih menaruh harapan yang Malaysia pada suatu hari nanti bersedia memulakan semula penjualan pasir kepadanya dan membuka ruang udaranya kepada kapal terbang tenteranya.

Jadi lawatan LKY ini bukanlah lawatan nostalgia. Ia adalah lawatan mencari maklumat dan risikan. Lawatan untuk mengenali dan mengukur kepintaran para pembesar Malaysia. Lawatan untuk mengajar anak buahnya untuk mengenali barisan baru kepemimpinan Malaysia.

Inilah keistimewaan Singapura. Ia sangat mengutamakan maklumat dan risikan. Dan tidak seperti negara kita yang meminggir dan mencemuh Dr Mahathir, Singapura memaksimumkan penggunaan LKY sebagai guru dan diplomat luar biasa untuk menarik pelaburan asing dan menebarkan pengaruh Singapura sebagai kuasa ekonomi serantau.

LKY bukan sahaja melawat Malaysia. Dia juga melawat negara-negara jiran yang lain dan menjadi kepala kepada usaha Singapura menarik pelaburan dari negara-negara Asia Barat.

Jadi, harap-harapnya para pembesar kita daripada pelbagai peringkat dan parti tidak sekadar bersalaman dan bergambar dengan LKY sahaja.

Kalau pun mereka keberatan belajar daripada Dr Mahathir, sekurang-kurangnya belajarlah daripada LKY kerana kedua-duanya adalah pemikir dan pelaksana teragung panca penjajahan di rantau kita ini. Kedua-duanya berjaya kerana mereka mengutamakan maklumat dan risikan.

Khamis, 18 Jun 2009

Runtuh dan pecah belah


Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

Salam pembaca,

Seperti mana yang kita semua tahu, pada 2 Jun 2009 Malaysia telah digemparkan dengan peristiwa yang memalukan dimana sebuah stadium yang dibina 6 tahun dulu bernilai RM 292 juta telah runtuh bumbungnya kerana struktur bangunan yang tidaj kukuh. Apa yang hairanya, kita di Malaysia ini tidak pula mengalami gempa bumi atau pun raksaksa datang menyerang tetapi boleh roboh hingga merosakkan stadium tersebut.

Bagaimana benda ini boleh terjadi? Adakah pihak berkuasa tidak memeriksa bangunan tersebut sebelum mendapat sijil layak menduduki (CF)? Bagaimana duit rakyat yang telah dilaburkan untuk membina stadium tersebut? Adakah pemilihan tender disebabkan oleh rasuah? Apa yang saya baca di dalam sebuah blog yang mengatakan pengambilan tender untuk membina bumbung stadium telah diambil oleh Syarikat dari Korea yang mempunyai rekod yang buruk dalam pembinaan bangunan. Apa yang pelik bagaimana Kerajaan Terengganu boleh menerima tender tersebut. Adakah tender yang ditawarkan sangat murah atau dapat duit bawah meja?


Sekolah Menengah Wakaf Tapai

Ini adalah sangat memalukan, kerana dengan teknologi Malaysia yang serba canggih dan kononnya terkenal di mata dunia telah dimalukan dengan runtuh bumbung stadium. Namun begitu, apa yang saya dapat tahu salah satu bumbung dewan besar Sekolah Menengah Wakaf Tapai di Terengganu yang bernilai RM 2 juta telah roboh dan tender yang mengambil dalam membina dewan ini adalah syarikat yang sama membina bumbung stadium. Apa pun saya merasakan pentadbiran Idris Jusoh bertanggungjawab dalam ini dan tugas kerajaan sekarang perlu mencari siapa dalang yang sebenar?

Ini belum lagi kita kaitkan dengan bangunan mahkamah di Putrajaya dan lebuhraya MRR2 yang telah retak. Apa gunanya menteri yang kita lantik dan pilih dulu asyik membina bangunan yang asyik retak dan runtuh saja. Jika kita lihat bangunan Parlimen yang telah lama dibina dahulu, bagaimana ia boleh bertahan sampai sekarang tanpa ada retak atau runtuh. Pelik pula dengan zaman sekarang yang mempunyai teknologi yang canggih boleh runtuh. Kadang-kadang saya tertanya, adakah pihak2 yang terlibat dalam pembinaan tersebut tidak berasa ada tanggungjawab dalam diri atau etika jika bangunan yang dibina melibatkan kematian orang awam yang ramai. Adakah mereka tidak rasa berdosa dengan kerja yang dilakukan?

Sekian

P/s: Jika dah biasa dengan rasuah, sampai mati pun rasuah juga

Khamis, 4 Jun 2009

Di sinilah wang dunia disorok

Pautan: http://www.malaysiakini.com/columns/104206

Oleh: Hishamuddin Rais

Kita diberitahu bahawa dunia sedang menghadapi masalah kecairan – ertinya tidak ada duit dalam pasaran. Lalu kita bertanya ke mana agaknya segala duit yang terkumpul dalam dunia ini pergi.

China, Jepun, Korea, Singapura, Taiwan dan termasuk Malaysia sendiri menyimpan duit-duit ini dalam bentuk kertas dolar Amerika.

Wang yang tersimpan ini – menjadi wang simpanan negara – hasil kita berjual-beli dengan Amerika.

China dan Jepun negara yang paling banyak menyimpan kertas dolar. Kertas dolar telah dipaksakan ke atas dunia ini oleh kuasa imperial Amerika Syarikat.

Pemaksaan ini melalui dua cara. Pertama, Amerika telah membuat perjanjian 1972-74 dengan keluarga Saud bahawa semua jual-beli minyak wajib menggunakan kertas dolar kerana bahan bakar petroleum diperlukan oleh semua negara dengan Saudi pengeluar utamanya.

Sebagai gantinya, kuasa imperial Amerika berjanji akan menjaga keselamatan keluarga Saud daripada dipukul oleh ombak rakyat.

Kedua, dengan kekuatan bala tentera. Amerika mendirikan 702 pengkalan tentera di 130 buah negara dalam dunia ini.

Tidak ada negara penjual minyak yang berani menjual minyak tanpa menggunakan kertas dolar. Saddam Hussein cuba mengalihkan kertas dolar sebagai mata wang jual-beli minyak.

Jawapannya Saddam digantung mati. Iran sedang berusaha untuk beralih daripada kertas dolar, justeru segala bentuk sekatan sedang dilakukan ke atas Iran.

Dari mana kertas dolar ini datang? Kertas dolar hanyalah kertas yang telah dipaksakan nilainya ke atas warga dunia. Ia dipanggil fiat money - nilai yang dipaksa.

Tanpa paksaan ini dolar hanyalah kertas yang tidak memiliki apa-apa nilai. Justeru, kertas dolar adalah satu penipuan yang terunggul dalam sistem ekonomi kapitalis.

Pada awalnya Amerika Syarikat sebuah negara revolusioner yang berdiri untuk menjaga kepentingan warga. Amerika mengeluarkan duit kertasnya sendiri.

Amerika yang merdeka telah membebaskan diri daripada para pemilik bank yang telah lama bersarang di City of London. Tuan-tuan empunya bank merasa mereka kehilangan bumi permata apabila Amerika menjadi bebas dan merdeka.

Lalu para pemilik bank menelurkan satu konspirasi untuk memaksa pentadbiran Amerika terus terikat dengan kepentingan mereka.

Pada tahun 1913, setelah beberapa kali percubaan gagal, akhirnya para pemilik bank telah berjaya memaksa (atau menipu) Kongres untuk menerima dan meluluskan Akta Federal Reserve 1913.

Ramai warga dalam dunia tersilap menyangka bahawa Federal Reserve ini adalah bank milik negara Amerika. Tidak betul.

Federal Reserve ini bukan bank milik negara Amerika seperti Bank Negara kita di pinggir Jalan Kuching. Federal Reserve adalah bank swasta yang tuan pemiliknya dirahsiakan.

Siapa ahli-ahli lembaga pengarah Federal Reserve ini juga dirahsiakan. Kongres hanya boleh menerima atau menolak dua nama yang akan dicadangkan oleh Federal Reserve.

Justeru dunia hanya mengenali nama Alan Greenspan, pengerusi Federal Reserve yang lalu dan Ben Bernanke, pengerusinya yang terkini.

Siapa yang lain di belakang tabir Federal Reserve ini tidak akan diketahui umum.

Mengikut akta 1913 ini, pentabiran Amerika tidak lagi dibenarkan mengeluarkan mata wang sendiri. Mata wang untuk kegunaan negara Amerika hanya akan dikeluarkan oleh Federal Reserve.

Jika kerajaan Amerika memerlukan dolar, maka kerajaan wajib meminjam daripada Federal Reserve – sama ada dengan menjual bond atau meminjam dengan bunga yang ditetapkan.

Lihat bagaimana liciknya konspirasi para pemilik bank ini.

Seperti tulisan minggu lalu, para pemilik bank ini mencetak kertas yang dipanggil dolar tanpa apa-apa asas. Kertas dolar ini akan dipinjam oleh kerajaan Amerika daripada Federal Reserve dan akan dibayar kembali dengan bunga.

Duit membayar hutang dan riba ini datang daripada tenaga dan titik peluh rakyat Amerika. Melalui kertas kosong, para pemilik bank ini telah mencipta harta Qarun.

Inilah punca yang sedang membawa huru-hara ke atas dunia hari ini. Mungkin ada yang berhujah – perkembangan ini di Amerika, apa sangkut pautnya dengan harga ikan di Pasar Chow Kit?

Sabar dahulu, biar saya terangkan sejelas mungkin.

Hari ini perniagan tukaran mata wang dalam dunia ini semuanya diwajibkan menggunakan dolar. Semua simpanan bank-bank negara dalam dunia ini akan bersandarkan dengan kertas dolar.

Ia telah dipaksakan oleh sistem kapitalis yang dikepalai oleh pemodal Anglo-Amerika. Para pemilik bank dan kaum pemodal ini telah mendirikan lembaga-lembaga kewangan dunia.

Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjadi dua lembaga hitam yang memastikan kertas hijau ini digunakan di seluruh dunia.

Setiap negara akan dinilai kekuatan ekonominya bersandarkan dolar. Perniagaan antarabangsa semuanya menggunakan kertas dolar. Barang yang kita ekspot dan barangan yang kita impot semuanya dinilai dengah kertas hijau ini.

Justeru, kita sendiri di Malaysia akan melihat rebah bangun ekonomi negara kita melalui perbandingan ringgit dengan kertas dolar.

Jika pembaca memahami apa yang saya tulis ini, maka amat jelas kelihatan bahawa umat manusia dalam dunia ini telah diperbodohkan dan ditipu oleh Federal Reserve, Bank Dunia dan IMF.

Lalu kita menyoal diri kita sendiri: kenapa tidak dapat dilakukan sesuatu untuk membebaskan diri daripada sistem kapitalis global ini?

Pertama, banyak rakyat Amerika sendiri kurang sedar silap mata dan tipu helah yang dijalankan oleh Federal Reserve ke atas negara mereka. Rakyat dunia juga tidak sedar akan hal yang sama.

Kedua, tidak ada sesiapa yang akan dapat memasuki Rumah Putih yang akan berani membocorkan rahsia ini. Lihat apa terjadi kepada Abraham Lincoln yang menentang para pemilik bank dan Central Bank (nama asal Federal Reserve).

Presiden Lincoln yang berperang hampir jatuh muflis telah mencetak Lincoln Greenback Dollar tanpa meminjam daripada Central Bank.

Lihat juga apa yang terjadi kepada John F Kennedy kerana cuba membocorkan konspirasi kaum pemodal ini.

Ketiga, tidak ada sesiapa yang akan dapat menjadi ahli Kongres atau masuk ke Dewan Senat Amerika dengan agenda menentang Federal Reserve, menentang para pemilik bank dan kaum pemodal ini.

Semenjak 1913, pemilik banker ini telah membuat jaringan, kabel dan kumpulan rahsia untuk memastikan kepentingan mereka dijaga oleh para politikus.

Hari ini kabel rahsia para pemilik bank ini telah mempengaruhi semua cabang pentabiran di Amerika. Hasilnya, media tidak pernah dan tidak akan melaporkan ke akar umbi secara radikal rancangan jahat para pemilik bank dan kaum pemodal ini.

Enam puluh tahun dahulu masih terdapat 86 buah syarikat media yang besar dalam dunia ini. Ketika itu, media cetak masih lagi bergerak bebas.

Hari ini yang tinggal hanya enam buah syarikat - ViaCom, General Electric, Disney, NewsCorp, Times Warner dan CBS - yang memiliki pelbagai bentuk media.

Syarikat-syarikat media ini pula dimiliki oleh para pemilik bank. Malah jika menyelidik dengan rapi, kita akan menemui bahawa modal-modal ini juga telah meresap masuk ke dalam industri media tempatan kita.

Yang menyusun dan merancang semua ini adalah kabel-kabel rahsia seperti Freemason, Bohemian Grove, Bilderberg Group, Skull dan Bones – semuanya terpusat di bawah satu bumbung yang dikuasai oleh pemodal dan pemilik bank yang sedang merancang untuk memunculkan satu Order Baru Dunia.

Di belakang semua ini, nama-nama seperti Rothschild, Rockefeller and Morgan. Mereka ini berkumpul di bawah payung organisasi yang dipanggil Illuminati. Susuk-susuk yang kaya-raya ini tidak pernah muncul menunjukkan muka mereka.

Kabel rahsia ini telah memunculkan muka-muka yang boleh dikenali oleh dunia seperti Henry Kissinger, Zbigniew Brzezinksi dan Lord Carrington. Mereka ini dianggap sebagai jurufikir yang berkumpul di bawah Council of Foreign Relation di Amerika dan Royal Institute of International Affairs di United Kingdom.

Lembaga jurufikir seperti NGO ini akan menjemput malaon dari dunia ketiga yang bercita-cita untuk menjadi presiden atau perdana menteri.

Tugas badan pemikir ini ialah mentafsir dan menilai malaon-malaon dari dunia ketiga ini. Penilaian bukan berdasarkan apa yang ada di antara dua telinga maloan-malaon ini tetapi sama ada mereka ini akan bersedia untuk menjadi barua yang setia untuk menjalankan dasar yang diperlukan oleh kabel rashia ini.

Justeru, kita lihat apabila dasar penswastaan dianjurkan, maka semua malaon yang telah dilantik menjadi barua di dunia ketiga akan menjalankan dasar yang sama. Apabila dasar globalisasi diperkenalkan, maka malaon-maloan ini seperti burung kakaktua akan turut bersuara.

Jika ada malaon ini yang cuba melawan seperti Noriega dari Panama atau Saddam, maka dengan sekelip mata mereka akan dilupuskan. Jika maloan ini sudah selesai tugasnya seperti Suharto, Marcos, Lol Nol atau Zia ul Haq, mereka akan diketepikan untuk malaon yang baru naik.

Semua ini dirancang. Tidak ada yang berlaku tanpa perancangan.

Hari ini sebenarnya tidak ada masalah kecairan. Apa yang berlaku, peralihan harta dan wang ringgit warga dunia masuk ke tangan para pemilik bank ini.

Dolar yang terkumpul hari ini melebihi 17 trilion dolar. Dolar, emas dan pelbagai mata wang ini tersimpan di 27 buah negara pulau yang memiliki bank pesisir pantai.

Negara seperti Bermuda, Cook Islands, Switzerland, Luxumbourg, Cayman Island dan termasuk Labuan adalah tempat tersoroknya harta ini.

Buat ketika ini, di sinilah harta kekayan dunia sedang bermastautin.

Rahsia Anak Muda Sokong PR

Pautan: http://malaysiakini.com/columns/105527

Oleh: Amin Iskandar

Selepas tsunami politik yang berlaku pada 8 Mac 2008, iklim politik di Malaysia terus panas dan menyaksikan penyertaan aktif rakyat dalam politik.

Perkembangan ini semakin rancak apabila beberapa siri pilihanraya kecil yang berlaku selepas itu bermula di Permatang Pauh, diikuti Kuala Terengganu dan kemudian Bukit Gantang.

Krisis politik di Perak dan isu penentangan terhadap dasar kontroversi PPSMI ibarat "menyimbah petrol" ke api yang sedang marak.

Golongan muda tidak ketinggalan untuk bersama-sama dengan pergolakan politik tanah air. Setakat ini, majoriti anak muda di Malaysia lebih condong untuk menyokong Pakatan Rakyat berbanding BN.

Perkembangan ini diakui sendiri oleh pimpinan-pimpinan BN apabila parti pemerintah tersebut tewas di kebanyakkan saluran pengundian 3 dan 4 yakni saluran pengundi muda dalam pilihanraya umum lalu dan beberapa siri pilihanraya kecil.

Ramai penganalisis melihat kencenderungan golongan muda bersama Pakatan kerana mereka lebih terdedah kepada maklumat-maklumat alternatif di internet, berbanding golongan tua yang sudah terbiasa dengan maklumat daripada akhbar atau televisyen.

Memang satu faktor yang tidak dapat dinafikan, internet memainkan peranan besar dalam mempengaruhi keputusan pilihanraya umum yang lalu.

Sebab itulah ramai pemimpin-pemimpin BN membuka blog sebaik sahaja keputusan pilihanraya ke-12 diumumkan kerana menyangka bahawa mereka kalah teruk oleh kerana tidak mempunyai blog!

Mereka ini terlupa bahawa jika semua pemimpin BN mempunyai blog atau laman web sekalipun, ia menjadi tidak berguna jika idea yang disampaikan tidak berbeza daripada apa yang boleh dibaca di Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Maklumat basi ini tidak akan berdaya menarik minat dan selera orang muda, jauh sekali mampu mengubah trend sokongan golongan muda terhadap BN.

Sifat melawan atau “rebel” memang tersemat dalam diri golongan muda. Sebab itulah kita dapat melihat bagaimana golongan mudalah yang bangkit untuk melawan sesuatu regim atau kediktatoran.

Di negara jiran Indonesia, kita dapat melihat bagaimana golongan muda yang majoritinya mahasiswa memimpin rakyat untuk menumbangkan regim Soeharto yang telah memimpin selama lebih 30 tahun.

Dalam sejarah gerakan reformasi di Malaysia sejak 1998, kita dapat melihat bagaimana berbondong-bondong mahasiswa dan anak-anak muda bersama-sama rakyat dalam demonstrasi-demonstrasi anti-Mahathir Mohamad pada ketika itu.

Penentangan golongan muda terhadap regim BN bertambah hebat pada hari ini oleh kerana Pakatan berjaya meyakinkan golongan ini bahawa mereka (baca: Pakatan) adalah alternatif yang terbaik bagi BN.

Jika Pakatan terus bersatu dan bertambah kukuh sehingga pilihanraya umum akan datang, sokongan kuat golongan muda akan semakin meningkat berikutan pertambahan jumlah pengundi muda dalam daftar pemilih.

BN yang ditubuhkan oleh perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein pada 1973 sebagai menggantikan Perikatan telah memerintah Malaysia dengan begitu lama. Jika dikira dengan zaman pemerintahan Perikatan, mereka telah mentadbir negara bermula dari tarikh kemerdekaan sehinggalah hari ini.

Apabila sesuatu parti politik memerintah dengan begitu lama dan tambahan lagi sentiasa dalam keadaan kuat (mempunyai majoriti 2/3 di parlimen) sebelum ini, maka lahirlah satu sifat "kerajaan sentiasa betul".

Seperti apa yang dikatakan oleh bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, bahawasanya presiden Umno itu seseorang yang paling berkuasa di dunia.

Zaid membandingkan kuasa yang ada pada presiden Umno berbanding dengan presiden Amerika Syarikat.

“Jika di Amerika, Obama perlu menjawab kepada Dewan Senat, Parti Demokrat dan media, di Malaysia presiden Umno (perdana menteri) boleh berbuat sesuka hatinya tanpa perlu menjawab kepada sesiapa berhubung dengan tindakannya" katanya dalam sebuah forum yang bertajuk 'Can Najib Deliver His Reform Promises?' bulan lalu di Dewan Perhimpunan Cina Selangor.

Pindaan perlembagaan yang dilakukan oleh Dr Mahathir pada 1993 telah menjadikan perdana menteri Malaysia begitu berkuasa apabila raja-raja boleh diseret ke mahkamah khas. Oleh kerana itu, lahirlah sifat angkuh dan sombong pimpinan-pimpinan Umno dan BN.

Apabila Umno dan BN merasakan mereka terlalu kuat dan tidak mampu dicabar oleh kumpulan-kumpulan lain, maka mereka menjadi sukar untuk menerima idea-idea baru atau bertentangan.

Mereka mahu paksakan kepada golongan muda untuk mengikut cara mereka dan tidak menerima segala kritikan yang diberi. Lihatlah apa yang terjadi kepada orang muda seperti Khairy Jamaluddin di dalam Umno?

Walaupun beliau telah menang sebagai ketua Pemuda Umno menewaskan Khir Toyo dan Mukhriz Mahathir, beliau tidak dilantik untuk menganggotai kabinet baru Najib Razak - antaranya kerana Khairy tidak mengikut "acuan" yang diinginkan banyak "warlord" Umno.

Khairy tidak dimahukan lagi oleh Umno oleh kerana beliau tidak bercakap dalam bahasa Umno. Sikap politiknya yang liberal dan tindakannya mempertahankan media alternatif seperti Malaysiakini atau The Malaysian Insider apabila diharamkan untuk membuat liputan dalam perhimpunan agung Umno bukanlah ketua Pemuda yang dimahukan oleh pembesar-pembesar Umno.

Pembesar-pembesar Umno mahukan ketua Pemuda yang boleh bercakap dalam bahasa Umno seperti "Umno perlu kuat", "ISA untuk mempertahankan hak Melayu" dan "media alternatif adalah agen asing". Kenyataan-kenyataan seumpama ini hanya boleh dituturkan oleh Khir Toyo atau Mukhriz Mahathir yang mempunyai ideologi "ultra Umno".

Umno menganjurkan pelbagai demonstrasi apabila berlakunya krisis Perak. Kita boleh lihat berapa ramai golongan muda yang menyertai mereka berbanding dengan puluhan ribu yang hadir di kediaman MB Perak untuk mendengar ucapan Nizar Jamaluddin yang dirampas kuasanya.

Propaganda Umno untuk mengajak anak muda menentang Nizar yang dikatakan "menderhaka" kepada Sultan Perak tidak mendapat sambutan. Propaganda yang mengatakan bahawa Nizar adalah agen DAP juga tidak dapat mempengaruhi pengundi-pengundi di saluran 3 dan 4 yang majoritinya memberikan undi kepada Pakatan dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang, awal April lalu.

Oleh kerana BN sudah terlalu lama berkuasa, mereka sering memandang rendah kepada tahap keintelektualan rakyat terutamanya golongan muda.

Lihatlah bagaimana TV3 cuba untuk memperbodohkan rakyat dengan propaganda-propaganda tahun 1960-an.

Meluat dengan apa yang merek saksikan telah mendorong anak muda beramai-ramai untuk membantu Pakatan tanpa mengharapkan sebarang imbuhan atau upah. Buah fikiran dan tenaga yang diberi dianggap sebagai satu tanggungjawab yang wajib dilakukan walaupun mereka tidak dipaksa oleh mana-mana pihak.

Di Bukit Gantang, saya terjumpa dengan sekumpulan penulis blog anak muda yang telah berkampung di kawasan parlimen tersebut untuk memastikan kemenangan Nizar Jamaluddin.

Ada yang telah berada di Perak semenjak berlakunya krisis politik di negeri tersebut dan telah berbulan-bulan tidak pulang ke rumah. Mereka mencari dana sendiri dan beroperasi siang dan malam untuk melaporkan perkara sebenar yang berlaku di negeri Perak dan menjawab propaganda-propaganda BN di alam siber.

Melihat ketabahan dan semangat mereka menyebabkan saya berasa terharu. Pakatan sangat beruntung kerana mempunyai sokongan yang begitu kuat daripada golongan muda yang merasakan melawan BN sebagai satu tanggungjawab berbanding dengan penyokong-penyokong BN yang sentiasa mengharapkan wang dan upah.

Jika Pakatan terus membawa api perjuangan dan agenda perubahan, saya yakin golongan muda akan sentiasa bersama mereka.

Saya bersetuju dengan Abdullah Ahmad (Dollah Kok Lanas) yang menyatakan dalam temubual majalah Off The Edge bahawa Najib hanya mampu menjadi PM selama tiga tahun sebelum pilihanraya umum ke-13 dengan syarat Anwar Ibrahim, Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang terus duduk bersama dan Pakatan kukuh.

Jika Pakatan berpecah dan pemimpinnya sentiasa bergaduh sesama sendiri, harapan, buah fikiran dan tenaga golongan muda yang membantu kemenangan mereka akan menjadi sia-sia.

Malaysia tidak akan menemui perubahan sehingga sekurang-kurangnya 50 tahun akan datang.