Rabu, 27 Mei 2009

Karikatur dari Zunar










Ujian Pemahaman Terhadap Cerita Perak

Penulis: Mohamed Hanipa Maidin
Pautan: http://rusli-islam.blogspot.com/2009/05/ydp-agong-pecat-najib-daripada-jawatan.html

Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi awal Januari 2010, Najib Tun Razak yang baru pulang ke rumah rasminya di Putrajaya tiba-tiba dikejutkan dengan satu surat dari Duli Yang Mulia Yang DiPertuan Agung ( YDPA ) bahawa beliau dan Rosmah hendaklah mengosongkan rumah rasminya kerana YDPA telah melantik orang lain sebagai Perdana Menteri menggantikan beliau.

Alasan YDPA di dalam surat tersebut adalah ahli-ahli Dewan Rakyat khususnya dari Pakatan Rakyat ( PR ) dan beberapa ahli BN yang mula menyokong PR telah berjumpa YDPA di Istana dan menyatakan bahawa mereka tidak lagi yakin dengan Najib dan mahu orang lain sama ada Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang atau Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Surat YDPA juga menyatakan bahawa jika Najib tidak meletak jawatan beliau hendaklah dipecat dari jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Najib merengus marah manakala Rosmah berteriak macam orang yang kena histeria . Najib yang masih marah dan berang berkata : “ Macam mana Tuanku dengan sewenang-wenangnya memecat patik sedangkan Parlimen tidak mengadakan apa-apa sidang atau membawa apa-apa usul atau undi tidak percaya kepada patik. Patik tidak nampak mana –mana peruntukkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang member kuasa kepada Tuanku untuk memecat patik sebagai Perdana Menteri. Macam mana patik boleh dengan mudah dipecat dan sebagai ganti dilantik orang lain sebagai Perdana Menteri sedangkan tidak ada sebarang undi tidak percaya diluluskan di Parlimen ke atas patik”.

Keluhan Najib didengar dengan tenang oleh YDPA . YDPA dengan senyum berkata kepada Najib : “ Adakah tuan hamba sudah lupa bahawa pada 22 hb Mei 2009 iaitu pada hari Jumaat jam 3.30 petang di tingkat bawah Palace of Justice, Putrajaya tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Yang Arif ( Y.A ) Dato Raus Sharif, Y.A Dato Ahmad Maarof dan Y.A Dato’ Zainon Ali telah sebulat suara memutuskan antara lain bahawa

a. Seorang Menteri Besar ( di peringkat Negeri ) atau Perdana Menteri ( PM ) di peringkat Pusat secara tersirat boleh dipecat atau diminta letak jawatan jika Sultan atau YDPA memutuskan bahawa MB atau PM tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN atau Ahli-Ahli Parlimen.

b. Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak atau Perkara 43 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa kaedah bagi menentukan bahawa seorang MB atau PM hilang keyakinan majoriti ADUN atau ahli-ahli Parlimen adalah melalui undi tidak percaya ( votes of no confidence ).

c. Kes Stephen Kalong Ningkan ( 1966 ) iaitu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Sarawak yang memutuskan bahawa Governor atau Sultan tidak ada kuasa memecat Ketua Menteri atau MB dan satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya tidak boleh lagi dipakai.

YDPA seterusnya menambah : “ Bukankah keputusan Mahkamah Rayuan tersebut yang tuan hamba inginkan bagi meraih keuntungan politik jangka pendek tuan hamba dan parti tuan hamba. Bukankah tuan hamba yang berkeras tidak mahu mendengar keluhan rakyat dan pemimpin partai komponen tuan hamba sendiri supaya krisis di Perak diselesaikan secara aman dan melalui amalan demokratik iaitu dengan kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya semula di Perak. Maaf tuan hamba, Beta terikat dengan keputusan tersebut dan tidak boleh buat apa-apa . Maka Beta dengan ini memerintahkan tuan hamba dan sekeluarga keluar dari rumah rasmi Perdana Menteri kerana tuan hamba bukan lagi Perdana Menteri Malaysia.”

Najib tersentak dan lemah segala sendi manakala Rosmah pula terkaku dan jatuh pengsan. Tiba-tiba mereka sedar keputusan Mahkamah Rayuan hari ini kini telah makan diri. Jika keputusan yang paling wajar dan munasabah oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Y.A Dato’ Aziz Abdul Rahim yang memutuskan bahawa satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya sekaligus mengekalkan doktrin Raja Berperlembagaan ( Constitutional Monarchy ) keputusan Mahkamah Rayuan pula ditafsirkan oleh ramai cendikiawan undang-undang telah melahirkan doktrin baru iaitu Raja Mutlak ( Absolute Monarchy ). Jika Raja Berperlembagaan melahirkan kesejahteraan sudah tentu doktrin Raja Mutlak akan melahirkan suasana yang tidak menyenangkan.

Sketsa di atas adalah , bagi saya, cara terbaik untuk memahamkan para pembaca tentang kesan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini.

Sebagai seorang anggota pasukan peguam Nizar, saya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Tapi saya tidak pasti keputusan tersebut akan diterima dengan baik oleh rakyat khususnya rakyat di Perak.

Dalam keadaan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman masih belum pulih sepenuhnya sudah tentu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak dapat lari dari cemuhan rakyat. Inilah masalahnya apabila sesebuah institusi dalam sebuah negara sudah hilang keabsahan ( legitimacy ). Di negara ini apabila BN memerintah terlalu lama dan keabsahan parti tersebut dipertikaikan turut sama terpalit adalah institusi keadilan seperti Mahkamah , Peguam Negara dan polis. Apabila rakyat hilang keyakinan kepada sistem keadilan , maka sebarang keputusan Mahkamah apatah lagi keputusan seperti keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini sudah tentu tidak akan mudah diterima sebagai satu keputusan yang adil dan telus.

Sejak dari awal rakyat sudah nampak macam ada sesuatu yang tidak kena kepada cara kes rayuan Zambry dikendalikan. Zambry kalah di Mahkamah Tinggi pada 11/5/2009. Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zambry bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman.

Pada 12/5/2009 di sebelah pagi Zambry membuat permohonan bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman. Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pendengaran permohonan Zambry pada pagi hari yang sama . Tarikh pendengaran yang diberikan dengan tergesa-gesa sudah tentu memprejudiskan Nizar dan pasukan peguamnya bagi membuat persiapan yang teliti dan mendalam.

Pada tengah hari 12 hb Mei itu juga Y.A Hakim Dato Ramly membenarkan permohonan Zambry dan perintah diberikan tanpa sebarang syarat.

Nizar membuat permohonan bagi membatalkan perintah penggantungan yang diberikan kepada Zambry. Mulanya permohonan Nizar ditetapkan pada 18/5/2009 tetapi kemudiannya ditangguhkan pada 21/5/2009 iaitu pada hari yang sama rayuan Zambry didengar. Sudah tentu permohonan Nizar tidak lagi relevan untuk didengar atau seperti yang sering dikatakan ianya menjadi akademik.

21 hb Mei rayuan Zambry didengar dengan hujah lisan dan bertulis dikemukakan oleh pihak –pihak secara mendalam . Mahkamah hanya ambil masa satu hari sahaja untuk putuskan. Memang hebat Mahkamah boleh buat keputusan dalam masa satu hari .Tetapi cuba kita bayangkan jika kita menghantar baju untuk dijahit dan tukang jahit siapkan baju kita dalam satu hari- saudara boleh bayangkanlah tahap kualiti baju tersebut .

Suatu yang amat mengharukan kami ( pasukan peguam Nizar ) adalah meskipun Nizar kalah namun sambutan rakyat kepada kami di Mahkamah Rayuan hari ini seolah-olah menunjukkan Nizar yang menang dan bukannnya Zambry.

Untuk rakan pasukan peguam Nizar iaitu Tuan Haji Sulaiman Abdullah, Philip Khoo, Ranjit Singh, Razlan Hadri, Nga Hock Cheh, Chan Kok Keong, Mr .Leong, Edmond Bon, Amir Arshad dan Zulkarnain Lokman ingatlah keputusan hari ini tidak akan mematahkan semangat kita sebaliknya ia memberi semangat baru kepada kita untuk terus berjuang menentang kezaliman dan menegakkan keadilan . Kita jumpa lagi di Mahkamah Persekutuan insya’Allah.

Selasa, 26 Mei 2009

Ceramah Anwar Ibrahim di Taman Universiti, Skudai



Salam Pembaca,

Untuk posting kali ini, saya hendak menceritakan pengalaman pertama saya ke ceramah politik yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat di Taman Universiti, Skudai pada tanggal 25/5/09. Pada ceramah politik kali ini, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah datang dan memberikan ceramah kepada penyokong2 beliau dan penduduk Taman Universiti.

Pada ceramah kali ini, saya dan beberapa orang kawan saya (Azlan, Hazlan, Khalid dan Anuar) telah terlamabat ke ceramah tersebut kerana tersilap melihat jadual ceramah. Tapi apa yang saya hendak ceritakan ialah kebodohan pihak berkuasa seperti polis dalam menangani masalah ini. Bukan apa, bagi saya ceramah politik ini adalah perhimpunan aman dan bukannya perhimpunan membuat rusuhan. Jadi tak perlulah, penguatkuasaan polis yang sampai menggunakan 2 trak polis dan 5-6 kereta polis untuk mengawal. Tetapi cukuplah sekadar dapat mengawal situasi yang ada. Melihat ramai pengunjung yang datang ke ceramah Pakatan Rakyat, saya yakin pilihanraya akan datang akan memihak kepada Pakatan Rakyat kerana sambutan dan respon dari pengunjung sangat positif. Dibawah saya meletakkan beberapa gambar yang sempat saya ambil (tidak beberapa jelas kerana guna kamera handphone 2.0 MP).








Ucapan dari DSAI juga telah memberikan input yang berguna untuk beliau berkempen kerana belaiu lebih memikirkan nasib rakyat dan memberikan gambaran sebenar keapda apa yang terjadi seperti kes kapal selam, pemberian tanah di Perak dan isu di Perak. Sebab selama ini kita asyik mendengar berita dari TV3 suku, Utusan Meloya dan Berita hairan. Mengenai ekonomi yang semakin tenat, saya hairan kenapa kebanyakan pemimpin kita mengatakan ekonomi bagus walaupun kita melihat sekeliling kita berapa ramai pekerja yang telah diberhentikan. Memang betul tindakan menutup berita tentang ekonomi Malaysia, namun jika dari A ke Z menipu dengan tidak memberi gambaran sebenar agak sukar rakyat hendak bersedia menghadapi masalah global ini. Berbanding dengan Singapura, mereka mendedahkan segala-galanya dan mereka juag memberi langkah2 yang bijak supaya rakyat mereka terselamat dalam situasi ekonomi sekarang. itu yang kita mahukan dan bukannya menipu dan terus menipu. Oleh itu terpulang anda untuk menilai?

Jumaat, 22 Mei 2009

Anak ku Raja Azman, Dengarlah.

Salam pembaca,

Kita hari ini telah digemparkan pelbagai cerita mengenai Perak yang masih dalam perebutan kuasa. Kali ini saya tidak mahu menceritakan tentang Perak, tetapi mengenai kisah seorang bapa bernama Raja Petra. Saya membaca Malaysiakini pada hari ini dan membaca tentang kisah anak Raja Petra iaitu Raja Azman yang telah ditangkap mencuri sebuah motorsikal dan beberapa barang lain di Shah Alam.

Setelah membaca kisah mengenai perkara ini saya teringat semula cerita 'Anakku Sazali' yang telah dilakonkan oleh Tan Sri P. Ramlee. Jika kita lihat pada cerita ini, kita boleh mendapati bagaimana seorang bapa yang terlalu memanjakan dan mmeberi kemewahan anaknya sehingga anaknya terlibat dalam pelbagai gejala sosial dan jenayah. Sehingga tidak tahan dengan karenah anaknya, bapa Sazali telah membuang Sazali dan akhirnya Sazali ditangkap polis. Sikap bapa Sazali harus dipuji kerana menyerahkan anaknya kepada polis untuk dibawa ke muka pengadilan.

Apa yang dilakukan ini sama dengan Raja Petra yang telah mempertahankan prinsipnya untuk tidak menjamin anaknya dari tahanan polis? Selalunya yang kita dengar atau menonton cerita di TV, kita boleh lihat kebanyakan orang kaya atau VIP akan menjamin anaknya dengan segera dan membayar rasuah kepada polis untuk menutup cerita supaya tidak diketahui umum. Pelbagai cara akan digunakan untuk menutup mulut orang, lebih2 lagi kepada wakil rakyat yang hendak bertanding. Sehingga ada yang mengatakan "Dia anak Dato'" atau "Dia anak Tan Sri memang la selamat". Kadang kala ada sekolah yang sanggup tidak melaporkan kepada polis bagi menutup malu untuk menjaga imej sekolah.

Tindakan Raja Petra amat saya hormati walaupun perit bagi seorang bapa yang akan menerima kutukan dari umum kerana beliau selama ini telah menjadi orang yang dikehendaki di Malaysia ini. Namun saya ada beberapa gambar yang telah saya dapat dari kawan saya, gambar ini mengenai anak kepada seorang Dato' Seri sekarang dan saya rasa anda pandai2 tekalah. Gambar ini saya tidak pasti ia sahih atau tidak, tetapi gambar ini hanya sekadar tontonan umum dan bukan untuk memfitnah.


Selasa, 19 Mei 2009

Iktibar Daripada Cerita Presiden Obama

Dipetik dari: http://kadirjasin.blogspot.com/2009/05/iktibar-daripada-cerita-presiden-obama.html

Sebuah universiti di Amerika memutuskan tidak menganugerahkan ijazah kehormat kepada Presiden Barack Obama kerana dia belum cukup berjasa dan terbukti prestasinya.

Di Malaysia, universiti berlumba-lumba memberi ijazah kehormat kepada menteri, bekas menteri dan isteri menteri.

Tidak mengapa kalau isteri menteri atau isteri bekas menteri itu tidak jelas atau belum terbukti jasa, kepakaran dan kecemerlangannya. Yang penting dia isteri menteri.

Maaf cakaplah. Macam sesetengah gelaran diraja, gelaran kehormat universiti pun, kata orang putih, sudah jadi “a dime a dozen” atau dalam loghat Kedah, sedozen sekupang.

Di sesetengah negeri, gelaran diraja (termasuk oleh Gabenor) sudah jadi macam lawak. Budak 20-an tahun pun boleh dapat asalkan bapanya jutawan yang pemurah dengan “derma” dan “sedekah”.

Sejak empat lima tahun kebelakangan ini, ada pengarang media massa yang dapat lima atau enam gelaran Datuk daripada negeri dan wilayah. Tak cukup dengan gelaran Datuk, diberikan pula gelaran Datuk Seri.

Khabarnya, di sebuah organisasi media arus perdana, pengurusan baru telah mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan yang ditawarkan anugerah diraja melaporkan terlebih dahulu kepada pengurusan.

Saya terbaca sebuah berita dari bandar Tempe di Negeri Arizona, Amerika Syarikat di mana Arizona State University tidak menganugerahkan ijazah kehormat kepada Obama kerana pencapaiannya setakat ini belum melayakkannya menerima anugerah itu.

Dengan berseloroh, Obama berkata bukan pihak universiti itu sahaja yang berpendapat beliau perlu menunjukkan lebih banyak kejayaan malah isterinya sendiri, Michelle, juga berpendapat demikian.

Obama berkata begitu ketika menjadi tetamu kehormat di majlis konvokesyen universiti berkenan. Adalah tradisi universiti di Amerika menganugerahkan ijazah kehormat kepada tetamu khas majlis konvokesyen.

Sebaliknya pihak universiti itu menamakan salah satu skim biasiswanya mengikut nama Obama.

Dengan berseloroh, Obama berkata: “Saya datang ke sini bukanlah untuk mempertikai cakap-cakap bahawa pencapaian saya belum memadai. Buat permulaan, Michelle setuju dengan penilaian ini. Dia mempunyai senarai panjang mengenai apa yang belum saya laksanakan, yang menanti saya di rumah.”

Kalau di Malaysia, sang isteri akan mengatakan suaminya layak dianugerahkan itu dan ini walaupun sang suami baru sehari menjadi menteri atau menjawat jawatan tinggi.

Kita suka orang luar kata kita sederhana atau “modest”. Tetapi ramai orang kita sebenarnya amat suka menunjuk-nunjuk dan gila pangkat.

Mereka tidak begitu peduli pandangan masyarakat terhadap mereka. Akibatnya mereka sangat serius mencari anugerah, pangkat dan gelaran, tetapi mereka tidak berkelakuan seperti orang ternama.

Maka berlakulah situasi di mana budak “kanyir” dan jutawan segera yang entah apa sumbangannya kepada masyarakat dan negara diberikan pelbagai gelaran dan anugerah, termasuk gelaran diraja.

Tidak hairan jugalah kalau begitu ramai penyandang anugerah diraja yang terbabit atau dikaitkan dengan akhlak buruk, skandal dan jenayah.

Ada negeri dan wilayah tertentu di bumi Malaysia ini yang menjadikan penawaran anugerah sebagai cara mencari pengaruh politik dan sumbangan kewangan.

Harap-harap institusi pengajian tinggi kita mengambil iktibar daripada tindakan Arizona State University dengan tidak sewenang-wenang memberi ijazah kehormat kepada sebarang Ali, Ah Kau dan Muthu.

Jumaat, 15 Mei 2009

Tuhan baru sembahan manusia hamba

Dari: http://www.malaysiakini.com/columns/104212

Lupakan kedaulatan Sultan Perak. Lupakan kedaulatan Raja-raja. Semua ini adalah ciput. Semua kedaulatan ini tidak akan diambil kira dalam agenda globalisasi yang sedang berjalan saat ini.

Semua Tun, Tan Sri, datin, pak haji, ayatollah, padri, sami, rabbai atau apa sahaja bentuk manusia semuanya menjadi ciput dalam agenda baru yang sedang berjalan hari ini.

Tuhan baru telah muncul. Tuhan yang dibawa oleh sistem kapitalis. Tidak percaya? Sila renung dan periksa diri sendiri. Sistem ekonomi kapitalis telah menjadikan manusia berebut-rebut untuk mengumpul harta. Sistem ekonomi kapitalis telah melahirkan satu budaya sehingga umat manusia dalam dunia ini terlupa dan terlalai bahawa kita hanyalah transit di atas muka bumi ini.

Budaya kapitalis ini telah mencakupi semua aspek kehidupan manusia. Manusia moden kurun ke-21 telah dilalaikan untuk menjadi binatang konsumer yang mengguna dan mengumpulkan pelbagai "biji-biji saga" dan barangan kodi untuk mainan.

Manusia moden telah menjadi seperti toyol yang asyik bermain dengan biji-biji saga hingga terlupa bahawa tujuan hidup ini untuk mengenal diri sendiri dan melakukan kebaikan.

Sistem kapitalis telah membawa satu budaya dimana ia mengasak, meraba dan merangsang sifat jahat dalam diri manusia. Hukum induk ekonomi kapitalis - keuntungan maksimum – telah melupuskan nilai baik yang sedia wujud dalam diri manusia.

Justeru, apakah kita hairan apabila kita terbaca dalam akhbar bagaimana pembekal susu tepung di tanah besar China telah membubuh melamin dalam tepung untuk dijual sebagai susu. Mereka menjual susu ini bukan kepada orang Sweden tetapi kepada bayi-bayi China, sanak-saudara mereka sendiri.

Justeru, apakah kita hairan apabila membaca berita di Sepanyol dan Portugal, ada pembekal minyak zaiton membubuh minyak hitam yang terpakai untuk dijual sebagai campuran minyak zaiton.

Justeru, apakah kita hairan apabila membaca bagaimana kontraktor Bumiputera yang bersunat dan selalu naik umrah telah membuat bangunan sekolah, bilik makmal dan hospital dengan menggunakan barangan tidak berkualiti dan akhirnya bangunan-bangunan ini runtuh?

Semua ini dilakukan kerana mereka hidup mengikut hukum dan budaya kapitalisme. Keuntungan maksimum adalah tuhan baru yang sedang disembah. Selama 30 tahun kebelakangan ini, tuhan baru ini muncul di serata pelusuk dunia.

Tuhan ini akan berada di mana sahaja wujudnya sistem ekonomi kapitalis, termasuk di Malaysia.

Tiga puluh tahun dahulu, air, api, jalan raya, hospital, bank, sekolah, universiti, telefon, radio, tv – semua ini milik kita bersama. Semua ini hak milik negara, bermakna hak milik orang ramai. Tiba-tiba harta orang ramai ini telah diswastakan.

Siapa sebenarnya yang menelurkan dan mencadangkan dasar penswastaan ini? Dasar ini dimunculkan oleh pemikir kabel-kabel Illuminati. Para pemikir daripada pelbagai think tank (kumpulan pemikir) ini yang telah mengajukan agenda penswastaan kepada Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebagai satu usaha untuk apa yang mereka panggil – cara untuk memperbaiki dan mengembangkan ekonomi di negara-negara sedang membangun.

IMF dan Bank Dunia menjadikan penswastaan ini sebagai dasar untuk diterima pakai. Negara Dunia Ketiga yang miskin, jika ingin meminjam dana dari bank-bank antarabangsa, diwajibkan menjalankan dasar penswastaan. Penswataan bermakna menjualkan harta hak milik orang ramai kepada kaum kapitalis antarabangsa.

Di belakang dasar penswastaan ini, para pemilik bank dari kabel Illuminati. Para pemilik bank yang telah mengumpulkan berbilion kertas dolar memerlukan pasaran pelaburan baru. Hukum ekonomi kapitalis mewajibkan kaum pemodal terus mencari pasaran baru.

Di Eropah barat, pasaran telah tepu. Maka kabel Illuminati telah mengarahkan Bank Dunia dan IMF memaksa buka seluas mungkin pasaran di negara Dunia Ketiga. Hasilnya, kita melihat harta negara kita – air, telefon, tv, jalan raya, hospital, bangunan, bank – semuanya bertukar tangan.

Apabila Perang Dingin tamat lihat apa yang telah terjadi kepada Rusia dan Eropah Timur. Negara-negara ini yang sedang mengamalkan sistem ekonomi sosialis telah diasak dan diserang. Rusia dipecah-pecahkan. Perang dicetuskan di Bosnia, di Kosovo, di Montenegro dan di Chechen – semua ini perancangan licik untuk memaksa harta rakyat di Eropah timur dijual kepada kaum pemodal antarabangsa.

Sesudah dasar penswastaan diterima pakai, kita mula terdengar apa yang dikatakan "dunia tanpa sempadan". Dunia tanpa sempadan ini agenda Illiminati untuk melupuskan kedaulatan negara. Dunia tanpa sempadan bukan bererti orang Afrika boleh senang-senang masuk ke Eropah.

Dunia tanpa sempadan bukan bererti buruh rakyat Pakistan boleh masuk ke Jepun untuk mencari kerja.

"Tanpa sempadan" hanyalah untuk duit kaum pemodal masuk ke mana sahaja bagi memaksimumkan untung mereka. Modal antarabangsa ini tidak boleh diganggu-gugat ketika modal ini sedang mencari keuntungan maksimum di mana sahaja di dunia ini. Dunia tanpa sempadan hanyalah untuk para pelabur antarabangsa "bermain tikam dan berjudi" di pasaran saham negara-negara Dunia Ketiga.
Lihat apa yang berlaku di Asia Tenggara pada 1997. Lihat bagaimana kaum kapitalis antarabangsa telah menerobos masuk dan menekan negara-negara Asia Tenggara dan akhirnya banyak hospital kita terjual, telefon kita terjual, sistem pendidikan kita terjual.

Lihat Tesco, Carrefour, Giant, Courts, AIA, ING, Ikea, Burger King, MacDonald, Shell, Esso – semua ini milik pemodal antarabangsa. Semua ini dipaksakan ke dalam pasaran kita melalui perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

WTO memaksa negara Dunia Ketiga membuka pasaran untuk pemodal antarabangsa masuk mencari untung. Perjanjian ini adalah perjanjian terbuka yang berat sebelah – sama seperti perjanjian-perjanjian East India Company yang telah dibuat oleh Sultan Johor dengan Raffles pada 1819, sama seperti perjanjian Sultan Kedah dengan Francis Light pada 1786, sama seperti Perjanjian Pangkor 1874 yang akhirnya Tanah Melayu jatuh ke tangan British.

Dari zaman penjajah dahulu, cita-cita kaum pemodal kapitalis ini untuk memiliki dunia ini tidak pernah padam-padam. Cita-cita kaum pemodal antarabangsa ini - untuk menjadikan umat manusia sebagai hamba - adalah manifesto Orde Baru Dunia.

Kabel-kabel Illuminati saban hari merancang. Hari ini semua strategi telah dirancang, semua telah disusun. Para pemilik bank di belakang Iluminati sedang dalam persediaan akhir untuk melahirkan apa yang mereka katakan Orde Baru Dunia.

Lihatlah nanti bagaimana kabel-kabel Illuminati ini akan memaksa Malaysia untuk menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Dalam perjanjian ini, tidak ada yang ‘free’ (percuma atau bebas). FTA ini akan memaksa kita terus membuka semua pasaran negara kita untuk kaum pemodal antarabangsa mencari keuntungan maksimum.

Orde Baru Dunia ini adalah dunia baru di mana kedaulatan negara tidak wujud lagi. Rancangan ini sedang diatur – Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico telah disatukan. Kemudian, seluruh selatan Amerika akan dijerut masuk. Eropah sedang bersatu – ia akan menjerut masuk Afrika dan Timur Tengah. Asia akan dikepalai oleh Jepun yang akan menjerut semua negara di Asia.

Lihat sekarang, telah wujud Asean dan Apec untuk Asia, Kesatuan Afrika Union untuk benua tersebut, dan Kesatuan Negara Amerika Selatan untuk Amerika Latin. Semua ini adalah perancangan Illuminati. Semua ini direstui oleh kaum pemodal antarabangsa. Rancangan akhir mereka ialah untuk memastikan semua rakyat dunia ini akan tunduk kepada kuasa mereka.

Dalam masa yang tidak lama lagi, manusia akan dicap dengan mikrocip. Tidak percaya? Bukankah idea ini telah terkeluar dari mulut seorang pegawai polis Malaysia tiga tahun dahulu dan berita ini telah dilaporkan dalam Utusan Malaysia. Mikrocip ini untuk bayi yang baru lahir – atas alasan untuk mengekori penjahat.

Tetapi hakikatnya mikrocip ini untuk mengawal semua umat manusia agar tunduk kepada sistem ekonomi kapitalis. Umat manusia akan taat bekerja dari jam 9 hingga 5 – hanya bercuti Sabtu dan Ahad.

Jika sopan dan tekun, mereka akan dapat gaji untuk membeli kondo, i-pod, Kancil, kasut Prada, beg Luis Vuitton dan pelbagai jenis "biji-biji saga" yang dijanjikan.

Sila baca novel 1984 oleh George Orwell dan tontonlah filem Metropolis oleh Fritz Lang.

Ini semua bukan dongeng konspirasi. Ini bukan plot sebuah novel yang belum siap. Inilah hakikat politik dunia hari ini. Memahami politik dunia hari ini amat penting.

Jika kita gagal untuk memahami garis dan strategi Illuminati, maka kita tidak akan melawan. Jika tidak bangun melawan, maka umat manusia dalam dunia ini akan dijadikan hamba abdi.

Isnin, 11 Mei 2009

Tahniah kepada Nizar. Alhamdulillah....Allahuakbar

Salam pembaca,

Sudah lama saya hendak menyimpan posting tentang ini kerana saya hendak kaitkan ia dengan sidang ADUN di Perak pada minggu yang lepas. saya melihatkan perkara ini sangat serius kerana kita boleh melihat siapa yang telah mengamalkan undang-undang rimba ketika kita merasakan negara kita ini mengamalkan demokrasi dan mengangkat martabat undang2. Saya tunjukkan gambar2 yang saya ambil dari laman blog Kickdefella yang menceritakan bagaimana Sivakumar dan pemimpin PR telah diambil tindakan yang sebegitu rupa dimana Sivakumar diheret dari kerusinya dan betapa teruknya perundangan ketika itu? Kemudian saya hendak kaitkan bagaimana pula tindakan Zambry yang kononnya berlagak sebagai MB yang sah berkuasa keatas semuanya. Zambry juga telah menderhaka kepada Raja Nazrin kerana membiarkan Raja nazrin menunggu selama 5 jam untuk merasmikan sidang ADUN.

Bagi saya, ini adalah permainan budak2 bodoh kerana jika Zambry merasakan dia MB buat lah tindakan bijak dengan membiarkan Sivakumar menjalankan tugas dia sebagai Speaker kerana keputusan mahkhamah masih belum memutuskan siapa MB sebenar. Itu kesilapan paling besar yang dibuat oleh Zambry.

Setelah mengetahui keputusan daripada mahkhamah tentang Nizar adalah MB yang masih lagi sah, saya merasakan akan berlaku lagi pilihanraya di Perak di mana pembubaran DUN akan berlaku. Ini menunjukkan masih ada lagi harapan keadilan di Malaysia ini dan ini secara tidak langsung akan memalukan pihak2 yang membuat keputusan terburu2 terhadap pemerintahan Kerajaan Perak. Ini adalah amaran keapda permerintahan BN, UMNO dan Najib dalam membuat keputusan yang boleh menaikkan kemarahan rakyat.