Isnin, 30 November 2009

Terima Keputusan 5A UPSR Depan Jenazah Ibu

Tidak seperti murid Tahun Enam lain yang kegirangan ketika menerima keputusan cemerlang 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Siti Amynur Ain Putri Rosdy kesedihan menerima keputusan itu di hadapan jenazah ibunya.

Apabila keputusan UPSR diumumkan di pejabat Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior, Seremban semalam, Siti Amynur Ain Putri berada di surau rumah rakyat Taman Dusun Nyior untuk membantu kaum keluarga yang lain menguruskan jenazah ibunya, Rusmah Abdullah, 47, yang meninggal dunia akibat tekanan darah rendah pada tengah malam Rabu selepas terlantar di wad hospital selama dua minggu.

Berderai air mata Siti Amynur Ain Putri dan kaum keluarga yang lain apabila guru besar sekolah itu, Noreha Adam menyampaikan keputusan ke tangan pelajar itu sendiri di hadapan tubuh kaku ibunya beberapa minit sebelum solat jenazah dimulakan pada pukul 11.30 pagi semalam.

"Saya sedih sangat, ibu tidak dapat melihat keputusan ini. Ibu selalu berpesan semasa hidup bahawa saya ini harapan dia, ayah pula sudah meninggal dunia empat tahun lalu," kata Siti Amynur Ain Putri dengan linangan air mata kepada Bernama.

Pelajar itu kini hidup yatim piatu bersama abangnya yang berusia 14 tahun.

Selepas ayahnya meninggal dunia akibat sakit tibi, ibu Siti Amynur Ain Putri bekerja sebagai pencuci di sebuah hotel bajet rendah di Seremban dengan pendapatan RM500 sebulan.

April lepas, ibunya terpaksa berhenti kerja apabila pelajar itu mengalami kemalangan sehingga patah kaki dan keluarga itu terpaksa hidup dengan bantuan kewangan RM400 sebulan.

Setiap hari selepas berhenti kerja, ibunya akan berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk menghantar nasi bungkus kepada Siti Amynur Ain Putri kerana pelajar itu tidak balik rumah untuk menunggu kelas bimbingan UPSR.

Guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior, yang terkejut ketika dimaklumkan ibu Siti Amynur Ain Putri meninggal dunia, berkata: "Siti merupakan ketua murid di sekolah kami. Kami tahu dia akan mendapat keputusan cemerlang.

Pagi-pagi saya sudah ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk mengambil keputusan (UPSR) seawal mungkin.

"Saya nekad untuk mendapat keputusan cepat dan sampaikan sendiri ke tangan Siti sebelum jenazah ibunya di kebumikan di tanah perkuburan Makam Tuan Haji Said," katanya.

Beliau dengan ditemani seorang guru hampir sahaja terlewat dan Noreha tidak putus-putus berdoa supaya Siti Amynur Ain Putri menerima berita baik di sebalik ujian berat yang menimpa pelajar itu.

Ketika menyampaikan keputusan itu ke tangan murid Tahun 6 itu, Noreha berkata suasana sangat hiba dan puluhan orang termasuk ahli surau terdiam tetapi beliau mengumpul semangat untuk memberitahu kepada murid itu: "Ibu tentu tahu Siti mendapat keputusan cemerlang".

Noreha, yang berpengalaman dalam bidang perguruan selama 24 tahun, kini berusaha untuk membantu Siti Amynur Ain Putri mendapat tempat di sekolah berasrama penuh.

"Siti ini tabah orangnya, kami tidak tahu pun ibunya dimasukkan ke wad selama dua minggu sebelum meninggal dunia. Semasa Siti patah kaki pada April lepas, dia mendapat cuti sakit selama dua bulan tetapi masuk bulan kedua, dia berazam untuk datang ke sekolah," katanya.

Katanya Siti Amynur Ain Putri mahu mengubah kemiskinan keluarganya dan bercita-cita menjadi seorang pensyarah. - Bernama

P/S: Dari jauh aku hanya mendoakan semoga adik Amynur dan abangnya berjaya dalam hidup

Rabu, 25 November 2009

Tujuh Mitos, Tujuh Pembohongan

Dari Hishamuddin Rais (http://www.malaysiakini.com/columns/115137)

Mitos ialah naratif yang dibuat bertujuan untuk memesongkan hakikat.

Contohnya: Raja dikatakan jelmaan tuhan - mitos ini bertujuan membodohkan kaum tani agar mereka memberikan tanaman mereka pada satu kumpulan manusia yang malas bekerja.

Mitos ini berpanjangan dan ditokok tambah: selepas satu, satu lagi ditambah. Hakikatnya mitos raja dari muntah lembu atau raja jelmaan tuhan bertujuan untuk menipu. Walhal antara raja dengan sesiapa sahaja tidak ada bezanya. Yang melahirkan perbezaan hanyalah mitos.

Contoh mitos: Pokok itu berhantu. Pokok itu wujud dan dapat dilihat dan dibuktikan. Tetapi hantu itu tidak wujud. Mitos hantu diwujudkan untuk menakut-nakut. Apabila kita takut, maka kita akan mencari perlindungan.

Peranan untuk melindungi kita daripada hantu ialah bomoh dan dukun. Akhirnya kita tunduk pada kuasa bomoh dan dukun.

Mitos diwujudkan untuk tujuan baik dan tujuan jahat. Jangan pergi di dalam gua ini, ada hantu adalah nasihat yang bersalurkan penakutan. Nasihat ini baik kerana cuba menjaga keselamatan. Ia juga tidak baik kerana asasnya satu pembohongan.

Hari ini mitos masih cuba di wujudkan – tetapi agak susah. Dengan kemajuan ilmu, tidak ramai yang akan mempercayai mitos-mitos baru yang hendak direka.

Mitos seperti angkasawan Neil Armstrong turun ke bulan dan kemudian terdengar suara azan. Atau mitos Bruce Lee mati kerana bersilat dengan Dicky Zulkarnain – semua ini cuba disebarkan untuk menjadi bahan lawak jenaka.

Tujuan asal mitos ialah untuk membodohkan dan dalam masa yang sama menakut-nakutkan orang ramai. Kalau Raja Jepun berasal daripada Tuhan, maka diharapkan rakyat Jepun akan tunduk. Walhal kalau Raja Jepun ini makan petai, kencing dia tetap hancing. Kalau Putera Charles tercirit, baunya tetap busuk.

Lawan mitos ialah fakta. Fakta dapat dibuktikan melalui pengkajian. Ilmu pengetahuan manusia datang dari fakta dan pemikiran manusia. Semua ilmu dalam dunia ini berpunca daripada tiga sumber.

Pertama: Pengumpulan pengalamnan. Kedua: Kaji selidik. Ketiga: Ujian dalam bilik makmal.

Sesuatu mitos akan pecah jika kita berfikir secara rasional. Kajian ilmiah akan dapat membuktikan sama ada sesuatu itu mitos atau fakta. Jika sesuatu masih dalam kajian dan belum dapat dibuktikan betul atau salah, maka ia masih di tahap teori.

Satu ketika dahulu Letupan Besar atau Big Bang hanya satu teori. Hari ini ia telah diterima sebagai fakta. Teori menjadi fakta apabila kajian dapat membuktikan teori ini.

Ilmu pengetahuan adalah pengumpulan pengalaman manusia dari suatu zaman ke suatu zaman. Buruk atau baik pengalaman ini akan menjadi panduan. Panduan ini adalah ilmu pengetahuan. Ada ilmu pengetahuan yang turun dari mulut ke mulut. Ada yang dibukukan.

Dalam negara kita, ada beberapa mitos yang disebarkan. Pada ketika mitos ini disebarkan, ramai warga negara kita belum bersekolah. Maka mitos ini diterima bulat-bulat. Penyebaran mitos ini memang bertujuan untuk membodohkan kita semua.

Tetapi dengan adanya internet, kita dapat memecahkan mitos-mitos ini melaui pengkajian berdasarkan fakta-fakta.

Mitos pertama
Hari Malaysia bukan pada 31 Ogos tetapi 16 September. Bohong. Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu menjadi persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Singapura meninggalkan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tidak percaya, sila tanya orang Sabah dan Sarawak.

Mitos kedua
Merdeka dimulakan oleh United Malays National Organisation. Bohong. Parti yang awal memperjuangkan dan melaugkan slogan MERDEKA ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuh pada 1938. United Malays National Organisation belum wujud lagi.

Apabila wujud, slogan United Malays National Organisation ialah HIDUP MELAYU dan bukan MERDEKA!

Mitos ketiga
Kemerdekaan dicapai tanpa pertumpahan darah. Bohong. Parti Komunis Malaya, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hizbul Muslimin, Peta, Malayan Democtaric Union, KMM dan ribuan warga telah bangun mengangkat senjata.

Pada mulanya melawan Jepun, kemudian melawan British. Tanpa angkat senjata, British tidak akan undur.

Mitos keempat
Lagu Negaraku dikatakan lagu kebangsaan kita. Bohong. Lagi ini bukan ciptaan warga Tanah Melayu. Penciptanya orang Perancis bernama Pierre Jean de Beranger (1780-1857).

Nama asal lagu ini, Memula Moon. Bertukar menjadi Terang Bulan.

Di zaman konfrontasi Malaysia-Indonesia, radio repuklik itu memainkan lagu ini untuk mengejek Tunku Abdul Rahman yang dianggap budak suruhan British. Dari Terang Bulan menjadi Negaraku.

Mitos kelima
Bendera Jalur Gemilang – namanya baru berusia lima tahun. Ia adalah tiruan bulat-bulat bendera Amerika Syarikat yang bernama Star Spangled–Banner, Stars and Stripes dan Old Glory. Jalur Gemilang diciplak daripada bendera Amerika.

Buktinya, lihat Jalur Gemilang tidak ada motif Nusantara atau Melayu. Warna merah dan putih adalah motif Nusantara - merah ertinya darah rakyat dan putih pula hati rakyat. Motif Nusantara ini wujud pada bendera Singapura dan Indonesia.

Mitos keenam
Wujud perpaduan Melayu. Bohong. Tidak ada perpaduan Melayu. Tidak pernah terjadi perpadun Melayu semenjak konsep Melayu itu wujud. Tidak mungkin adanya perpaduan Melayu seperti mustahilnya lahir perpaduan Cina, perpaduan Arab, perpaduan Itali, perpaduan India.

Mitos perpaduan Melayu bergerak dengan menakut-nakutkan orang Melayu daripada 'ditelan' oleh Cina dan India. Apabila Melayu jadi takut maka akan datang pembantu. Seperti mitos pokok ada hantu. Orang kampung yang takut pada hantu memanggil bomoh untuk menghalau hantu.

Ini cara klasik sesuatu mitos bergerak - takut-takutkan orang ramai. Apabila orang ramai takut, maka mereka akan mencari perlindungan. Maka muncul United Malays National Organisation menjadi pelindung, walhal yang menimbulkannya gerombolan ini juga.

Mitos ketujuh
Malaysia negara unik. Bohong. Mitos ini disebarkan untuk membodohkan rakyat negara ini yang malas membaca dan hanya suka mendengar.

Mitos ini bertujun untuk menunjukkan hanya gerombolan United Malays National Organisation sahaja yang dapat memerintah kerana Malaysia ini unik.

Hakikatnya Malaysia tidak unik; bukan Malaysia sahaja dalam dunia ini yang berbilang-bilang kaum, berbilang-bilang bahasa, pelbagai agama dan budaya. Tidak ada negara yang monolithic dalam dunia ini – semua ada kepelbagaian. Setiap negara dalam dunia ini ada kepelbagaian.

Teknologi boleh memecahkan mitos. Lihatlah betapa teknologi dan ilmu pengetahuan telah memecahkan mitos-mitos ini. Betapa internet telah membolehkan kita bersama-sama mencari fakta dan menilai dokumen sejarah.

Kalau dulu kita tidak tahu asal-usul lagu Negaraku. Hari ini gambar dan riwayat hidup pembuat lagi ini kita kenali. Kalau dulu ada yang menerima mitos tentang kemerdekaan dicapai tanpa tumpah darah. Hari ini mitos ini telah terbarai, pecah.

Dokument-dokumen sejarah ini semuanya boleh kita baca melalui internet.

Kemajuan manusia akan terus memecahkan mitos-mitos yang lapuk dan berkarat ini. Teknologi akan membebaskan manusia daripada diperangkap dan dibelenggu mitos-mitos.

Tanpa mitos, manusia akan jadi berani. Insan yang berani bebas adalah insan yang berfikir. Manusia yang berfikir tidak akan tunduk kepada sesipa kecuali fikrahnya yang rasional.

Ahad, 22 November 2009

Bulan November yang memeningkan

Salam,

Bulan November yang memeningkan kepala aku apabila banyak pilihan yang harus dipilih aku jadi pening. Ini berkaitan mengenai tawaran memasuki TM, aku terpaksa melakukan perkara satu bulan notis jadi perkara ini amat menyusahkan. Namun akutekad hendak bayar separuh satu bulan notis yang anggarannya dalam RM 1000. Pergh, rugi aku. Namun demi mengejar kerjaya di syarikat besar terpaksalah aku membuat keputusan. Kepada TM, aku datanggggggg.

Berbalik kepada cerita politik, mengenai Tuan guru Nik Aziz yang dituduh menerima rasuah dengan menerima perbelanjaan pergi menunaikan haji adalah wajar. Ini kerana Tuan Guru kena beringat yang menaja perbelanjaan ini mungkin ada niat memberi ganjaran untuk mendapatkan ganjaran. Ini secara tidak langsung menjadikan perkara ini sebagai rasuah kerana Tuan Guru bukan sahaja ulama' namun sebagai menteri besar yang boleh meluluskan segala projek kepada sesiapa sahaja. Musuh di luar hanya menunggu sahaja untuk menyerang.

Mengenai kes yang terbaru iaitu fahaman wahabi, saya agak keliru mengenai isu ini yang semakin menjadi perhatian media dan ia makin mengelirukan apabila ia dimainkan dengan isu politik. Namun apabila Dr Masitah mengatakan imam2 di Mekah juga berfahaman Wahabi, jadi adakah sah sembahyang orang yang menunaikan haji jika ada yang mengatakan fahaman wahabi ni adalah haram. Ini kena jelas dan menjadi peranan JAKIM untuk menerangkan perkara sebenar. Oleh itu, pihak kerajaan harus melakukan langkah untuk menerangkan perkara yang sebenar daripada membiarkan umat Islam di Malaysia keliru. Ini kerana fahaman Wahabi ini semakin meluas kerana kebanyakn ustaz2 yang pulang dari Jordan banyak mengamalkan fahaman ini. Ini kena jelas sama ada ia mazhab atau hanya fahaman. Sekian