Jumaat, 24 Julai 2009

Datuk Aku


Salam,

Tergerak hati nak cari maklumat tentang datuk aku di Internet dan tidak sangka pula banyak maklumat pasal dia. Ruangan kali ini adalah untuk memberi penghargaan kepada datuk aku yang telah menyumbangkan jasa beliau untuk mendapatkan kemerdekaan Malaysia dan berjaya memperjuangkan bahasa dan bangsa Melayu. Oleh itu, aku hendak memaparkan biografi beliau di ruangan kali ini.

Datuk Wira Haji Borhan bin Md. Yaman

Datuk Wira Haji Borhan bin Md Yaman dilahirkan pada 12 Julai 1930 di Kampung Lubuk Redan, Melaka. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lubuk Redan dari tahun 1935 hingga 1941 dan Sekolah Melayu Kuala Sungai Baru dari tahun 1941 hingga 1946. Beliau menerima altihan formal keguruan melalui Kursus T.U.O.S (Teacher Under Others Scheme) 1948 - 1951 di Maktab Perguruan Bahasa, Johor Bahru. Beliau pernah bertugas sebagai guru di Sekolah Melayu Kuala Sungai Baru (1946 - 1951). Sekolah Melayu Lubuk Redan (1952 - 1954), Sekolah Melayu Parit Melaka (1954 - 1956), Sekolah Melayu Limbongan (1956 - 1957), SMJK Pay Fong (1959 - 1961), SMJK Yok Bin (1962 - 1964) dan Sekolah Hendry Gurney (2) Bandar Hilir, Melaka (1974 -1984). Kementerian Pembangunan Negara dan Bandar pernah melantik beliau sebagai Pengelola Pelajaran Dewasa Negeri Melaka dari tahun 1964 hingga 1970.

Datuk Wira Haji Borhan adalah seorang pejuang kemerdekaan dan berjiwa patriotik. Beliau menyemai semangat patriotik melalui karya-karyanya yang tersiar di akhbar dan majalah semenjak zaman prakemerdekaan lagi. Antara sajak ciptaannya ialah Rela Membela (1951), Pemuda Seruanku (1952), Tunaikan Kewajipan (1953), Lambang Kota Melaka (1954), Penganjur (1954) dan Manifesta Palsu (1954). Di samping itu beliau juga menulis artikel dalam beberapa penerbitan seperti Panduan Hidup (1952), Buku Bacaan di Sekolah Melayu (1952) dan Kecerdasan Akal Wanita (1953). Antara media massa yang banyak menyiarkan karyanya ialah Majalah Guru dan Akhbar Merdeka. Sifat gemar membacanya mendorong beliau menyediakan ruang perpustakaan mini dirumahnya yang mengandungi sebanyak 2,160 buku koleksi semenjak zaman mudanya dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia.

Atas jasanya yang telah ditaburkan, beliau telah dianugerahi pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N) pada tahun 1963. Darjah Mulia Seri Melaka (D.M>S.M) pada tahun 1980 dan Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) pada tahun 2001. Jabatan Pelajaran Melaka juga telah mengiktirafnya sebagai Tokoh Guru Negeri Melaka pada tahun 1989. Beliau juga menerima Anugerah Tokoh Budaya Negeri Melaka pada tahun 1997 dan Anugerah Dharma Bakti Gapena pada tahun 2002.

Tiada ulasan: