Selasa, 3 Februari 2009

Pandai betul putar belit


Salam pembaca,

Semalam saya telah menonton berita di TV3 mengenai isu kes tadika yang ditutup. Setelah mendengar berita ini, yang peliknya perkara ini hanya berlaku di 4 buah negeri iaitu Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang. Tetapi tidak mengapalah kerana 4 buah negeri ini adalah negeri Pakatan Rakyat. Apabila melihat isu ini, saya merasa pelik kerana betulkah pemimpin di 4 buah negeri ini menutup tadika dan tabika yang selama ini digunakan sebagai tempat untuk pendidikan rakyat. Kalau betul ini adalah satu tindakan yang tidak betul dan harus dikemukan sebab saya pun dulu belajar di tadika juga.

Oleh itu saya telah mencari artikel-artikel dari akhbar2 yang menyatakan pendirian kerajaan negeri dan yang telah membuat laporan terhadap isu tadika ini. kemudian anda adili tentang isu ini. Di bawah adalah keratan artikel dari suratkhabar

Utusan Malaysia, 06/01/2009

Kerajaan Perak diminta nyatakan pendirian

IPOH 5 Jan. - Kerajaan pakatan pembangkang di negeri ini diminta memberikan penjelasan berhubung tindakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengunci dan mengarahkan semua dewan yang dijadikan tabika Kemas di negeri ini dikosongkan mulai hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, kerajaan negeri perlu menyatakan pendiriannya berhubung tindakan itu kerana JKKK dan pegawai daerah mendakwa mendapat arahan daripada kerajaan negeri tetapi dinafikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

''Takkan semua JKKK dan pegawai daerah di seluruh negeri bertindak sendiri. Biasanya selepas dapat arahan baru bertindak dan sekarang apabila sudah bertindak, Menteri Besar kata ini bukan arahan saya tetapi arahan pegawai daerah.

''Jadi, kita hendak dengar apa sebenarnya keputusan kerajaan negeri. Kenapa pegawai daerah kata lain, JKKK cakap lain dan Menteri Besar pun kata lain," katanya selepas melawat tabika Kemas di Kampung Seri Ampang A di sini hari ini.

Tindakan kerajaan negeri Perak itu bakal menjejaskan pembelajaran prasekolah kira-kira 11,000 kanak-kanak yang sedang belajar di 700 tabika Kemas di seluruh negeri ini.

Menurut Muhammad, kerajaan negeri sepatutnya mengenepikan perbezaan fahaman politik demi kepentingan ilmu pengetahuan kepada kanak-kanak.

Katanya, sama seperti sekolah, hospital dan balai polis, tabika Kemas juga dibina untuk semua rakyat tanpa mengira sama ada mereka anak kepada ahli DAP, Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR).

''Betullah dewan ini di bawah kerajaan negeri tetapi fikirlah tentang kepentingan anak-anak ini. Kalau tutup juga terpaksa kita buka tabika di premis lain tetapi ini akan menyusahkan ibu bapa dan anak-anak.

''Apa yang berlaku ini seolah-olah tabika Kemas sahaja nak kacau dan ambil tindakan sedangkan tanah yang orang teroka beribu ekar itu nampak tidak diambil tindakan," ujarnya.

Mengulas mengenai lawatannya hari ini, beliau melahirkan rasa terkejutnya selepas melihat sendiri surat mengosongkan dewan yang dikeluarkan oleh JKKK Kampung Seri Ampang A.

''Pagi tadi, dia (orang JKKK) datang buka balik kunci pintu dan kata nak berdamai tetapi kita ada tengok surat buat keputusan hendak tutup tabika Kemas.

''Saya fikir ini satu perbuatan tidak bertanggungjawab kepada anak-anak kecil, apalah salah mereka hendak disuruh keluar," katanya.

Kata Muhammad, sekiranya kerajaan negeri sememangnya tidak membenarkan dewan orang ramai digunakan oleh tabika Kemas, pihaknya akan mencari premis lain di kawasan berhampiran bagi memastikan proses pembelajaran anak-anak ini tidak terjejas.

Beliau memberitahu, pihaknya juga sedang memantau perkembangan tabika Kemas di Selangor dan Kedah.

''Di Selangor, mereka hendak pegang kunci pendua manakala Kedah membenarkan dewan digunakan untuk tabika Kemas," katanya.

Harakah Daily, 11 Mac 2008

ALOR STAR, 11 Mac (Hrkh) -
Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar menggesa akhbar Berita Harian untuk memohon maaf secara terbuka kepada kerajaan Kedah yang menyiarkan berita palsu kononnya kerajaan mengarahkan pengajian di Tadika Kemas ditutup. Katanya, jika Berita Harian gagal berbuat demikian, beliau akan bersama rakyat Kedah akan memboikot akhbar itu termasuk semua terbitan The New Straits Time.

"Tidak mustahil ini boleh berlaku, BN pun rakyat Kedah dah tolak dan semestinya rakyat lebih bersedia untuk menolak media yang menyiarkan berita palsu," tegasnya.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata demikian, dalam ceramah perdana meraikan kemenangan PAS di Kedah di Kompleks PAS Kedah yang dihadiri puluhan ribu rakyat negeri ini.

Bermula dari jam 4.00 petang lagi, rakyat mula memasuki kawasan Kompleks PAS Kedah dan selepas jam 7.00 malam, jalan utama Alor Star-Sungai Petani berdekatan Kota Sarang Semut sesak teruk.

Jika sebelum ini pihak polis sekadar datang untuk menyaman kenderaan yang diletakkan di tepi jalan di sepanjang Kompleks, namun pada malam ini, polis hadir untuk mengawal bagi melicinkan lalulintas.

Segenap ruang kompleks ini dipenuhi rakyat yang ingin melihat sendiri dan meraikan kemengan PAs dan KeADILan di Kedah.

Kelmarin, rakyat juga tidak berganjak dari hadapan pintu pagar utama Wisma Darulaman ketika majlis angkat sumpah Menteri Besar Kedah dilangsungkan di Dewan Seri Negeri.

Sehinggalah, Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak keluar dan memberikan ucapan seterusnya meminta rakyat meninggalkan tempat tersebut, barulah rakyat mula meninggalkan kawasan berkenaan.
Harakah Daily, Dr Khairuddin Dato' Abdul Malik, 6 Jan 2009

Penulis adalah Bendahari Perhubungan PAS Negeri Perak.
Kunci Tadika Kemas: Lakonan Umno untuk burukkan Pakatan Rakyat

MENJELANG pembukaan sesi persekolahan yang baru 5 Januari lalu, tiba-tiba Umno mendapat idea jahat terkini untuk memomokkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Pada petang 4 Januari keluar SMS (khidmat pesanan ringkas) di kalangan pemimpin Umno Perak yang berbunyi: "Jam 9.00 pagi 5/1/09 bawa Tan Sri Muhammad Taib (Menteri Pembangunan Luar Bandar) ke Dewan Tadika Kemas Sri Ampang di mana pelajar tadika Kemas dihalang masuk dewan oleh arahan kerajaan negeri, boleh jadi isu kempen kita di Kuala Terengganu."

Maka pada pagi tersebut tidak kurang daripada 50 orang pemimpin Umno di pelbagai peringkat (dari Ahli cawangan sehinggalah Menteri) berduyun-duyun tiba di premis tersebut.

Seawal 7.40 pagi, wakil-wakil media TV3 dan RTM, Jabatan Penyiaran, Jabatan Kemas menunggu di situ. Siapa yang menjemput pihak media tersebut?

Mendapat respon daripada SMS tersebut dan arahan tegas YAB Menteri Besar Perak supaya semua dewan yang digunakan oleh Kemas di Negeri Perak bagi kelas tadika tidak dihalang, maka seawal 7.30 pagi pihak JKK Sri Ampang telah membuka kunci pagar dan kunci pintu dewan.

Silapnya rantai pagar yang tidak berkunci tidak dialihkan.

Apabila penulis sampai ada tiga pelajar tadika menunggu di luar pagar bersama ibu bapa dan seorang guru tadika perempuan berumur sekitar 40-an.

Khuatir suasana itu boleh dijadikan modal lakonan di media, penulis mengarahkan pintu pagar dibuka seluas-luasnya dan meminta pelajar masuk ke dalam dewan.

Drama Umno/Kemas tersebut terserlah apabila tiba-tiba guru Kemas cuba menghalang daripada pintu pagar tersebut dibuka dan mengambil rantai pagar untuk dililit kembali supaya lakonan dapat dipanjangkan sementara menunggu para-para tetamu beliau.

Cikgu tersebut sibuk menelefon meminta tetamunya datang segera ke Sri Ampang. Tentulah tetamu VIPnya adalah Menteri yang secara kebetulan berada di Perak!

Guru tersebut berkeras mengapa hanya sekarang (pagi tersebut) dewan dibenarkan dibuka. Mengapa tidak beberapa hari lebih awal. Isunya mudah. Kerajaan negeri tidak pernah menghalang kelas Tadika Kemas beroperasi.

Isu timbul kerana apabila pihak JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) mengenakan peraturan penggunaan dewan supaya pihak Kemas meminta kunci secara rasmi bagi kegunaan tadika daripada pihak JKKK.

Guru tersebut dilaporkan berkata kepada Ketua Kampung (yang secara kebetulan seorang ustaz bekas pensyarah Politeknik) bahawa beliau tidak akan mahu berjumpa Ketua Kampung untuk mengambil kunci.

Pihak Umno melalui Ketua Bahagiannya menegaskan Ketua Kampung yang sepatutnya meminta kebenaran daripada Kemas jika menggunakan dewan.

Alasannya Dewan itu hak milik Kemas kerana 'orang-orang Umno' yang bersusah payah mendirikannya 20 tahun dahulu.

Bagi JKKK pula, dewan tersebut milik kerajaan dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk aktiviti masyarakat (selain aktiviti politik) kerana dewan itu didirikan di tanah kerajaan. Namun Kemas tidak pernah dihalang untuk terus beroperasi.

Apa yang sebenarnya diperlukan adalah kajian tentang status dewan-dewan orang ramai di seluruh negeri Perak dan peraturan bertulis tentang penggunaan Dewan supaya tidak ada lagi dewan-dewan orang ramai yang dijadikan bilik gerakan pilihan raya Umno/BN.

Tindakan lebih tegas juga diperlukan bagi menangani media tiga suku yang 'hostile' kepada Kerajaan Perak kini.

Antaranya disarankan supaya tindakan undang-undang diambil ke atas Utusan Malaysia kerana menyiarkan dalam ruang Awang Selamat (6 Januari 2009) bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan Selangor adalah sezalim Yahudi Israel kerana menghalang pelajar-pelajar Tadika Kemas dalam keadaan Utusan Malaysia menyedari Kerajaan Perak telah pun mengadakan sidang akhbar pada 5 Januari 2009 menafikan tindakan tersebut.

Buktinya di seluruh negeri Perak beratus-ratus Tadika Kemas masih terus beroperasi seperti biasa di dewan orang ramai milik Kerajaan.

Setelah membaca kedua-dua artikel ini, saya merasakan perkara ini telah dibuat-buat oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Bagi saya perkara ini tak sepatutnya berlaku kerana ini adalah pendidikan anak2 kecil. Usahlah pemimpin sekarang mencampuradukkan perkara ini ke dalam pendidikan anak2. Jika hendak sabotaj pemimpin kerajaan negeri pun guna lah isu lain yang tidak melibatkan pendidikan. Apalah nak jadi dengan pemimpin sekarang.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Diorg ni tak sedar lagi ke yg rakyat dah tak suka kat diorg.. Rakyat tak suka sebab diorg ni suka buat kerja tak elok.. menipu rakyat.. so, reti2 la nk berubah buat keje elok plak.. sengal!!!