Pautan: http://www.malaysiakini.com/columns/105923
Dua puluh tahun dahulu, perjanjian damai Haadyai ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM), maka perang saudara ditamatkan, dan bermulalah suatu proses persefahaman yang menguntungkan perpaduan nasional dan pembangunan negara.
Antara lain, sumbangan PKM dalam perjuangan kemerdekaan akhirnya diakui kerajaan. Datuk Rahim Noor, bekas ketua polis negara dan ketua rombongan perunding masa itu mengumumkan bahawa sumbangan PKM dalam perjuangan kemerdekaan tidak dinafikan atau diperkitaikan oleh kerajaan.
Di samping itu, menurut Darshan Singh Khaira - peguam Chin Peng, Fasal 3.1 perjanjian damai itu menyatakan anggota PKM yang telah meletakkan senjata dan ingin kembali ke kampung halaman mereka di Malaysia dibenarkan berbuat demikian secara bebas.
Dengan kata lain, jika perjanjian damai diterima bulat oleh kerajaan, Chin Peng sewajarnya dibenarkan kembali ke Malaysia bersama-sama kawan-kawan seperjuangannya 20 tahun dahulu!
Oleh kerana permohonan Chin Peng untuk kembali ditolak oleh kerajaan, beliau terpaksa mengambil tindakan undang-undang melalui mahkamah. Mahkamah di semua peringkat hingga Mahkamah Persekutuan sama-sama tegas agar Chin Peng kemukakan surat kelahiran dan kewarganegaraannya untuk membuktikan beliau diperanakkan di sini.
Permintaan ini mustahil untuk Chin Peng, kerana dokumen-dokumen tersebut sudah hilang dalam huru-hara peperangan. Hakikat Chin Peng dilahirkan di Setiawan, Perak diketahui umum di dalam dan luar negeri, dan sanak-saudaranya dengan senang saja dapat menjadi saksi untuk memberi keterangan di mahkamah.
Rasanya permintaan mahkamah hanya merupakan alasan untuk menafikan hak Chin Peng untuk menetap di Malaysia berasaskan prinsip jus soli.
Pada 21 Mei, pengerusi Citizens International, SM Mohamed Idris merayu kepada kerajaan supaya membenarkan Chin Peng pulang atas alasan-alasan berikut:
- Melalui perjuangannya menentang imperialisme, penjajahan dan penindasan, beliau telah membawa kehormatan dan maruah kepada negara dan rakyat kita;
- Telah menjadi fakta sejarah yang sahih bahawa perjuangan yang dibawa oleh gerakan pembebasan pimpinan Chin Peng, Rashid Mydin, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dan lain-lain telah menyumbang ke arah kemerdekaan Malaya;
- Sumbangan gerakan ini diiktiraf sendiri oleh mantan perdana menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Tun Abdul Ghafar Baba, seorang lagi mantan timbalan perdana menteri;
- Perjanjian PKM dengan kerajaan Malaysia pada 1989 membenarkan bekas pemimpin gerakan gerila itu pulang ke tanahair dan menetap, kerajaan digesa menghormati butiran perjanjian tersebut.
- Beberapa bekas pemimpin kanan PKM seperti Abdullah C.D., Shamsiah Fakeh dan Musa Ahmad telah dibenarkan oleh kerajaan untuk kembali, malah menetap di Malaysia.
Rayuan mereka berasaskan kerasionalan dan keadilan, dan sesuai dengan butiran dan semangat perjanjian Haadyai 1989.
Malangnya Dr Teng telah dijadikan kambing hitam oleh beberapa golongan berkepentingan politik yang cuba mengapi-apikan sentimen anti-komunis dan kebencian kaum, mereka cuba menyimpang tumpuan orang ramai terhadap kebuntuan politik mereka.
Seperti biasa, Utusan Malaysia tampil untuk mengorkestrakan gelombang anti-komunis, dan dalam beberapa hari saja, kita kembali dalam suasana seolah-olah ketakutan menjelang Operasi Lalang apabila sesiapa sahaja boleh dicap komunis atau pelampau dan ditahan bawah undang-undang ISA.
Menteri Penerangan, Komunikasi, Seni dan Kebudayaan, Rais Yatim mengancam akan mengambil tindakan terhadap blog-blog yang dianggap menyebarkan “ideologi komunis”, dan mahu sentimen yang menganggap komunisme mempunyai nilai-nilai nostalgia dan positif dilupuskan sama sekali dalam pemikiran seluruh rakyat Malaysia.
Rais seolah-olah masih terbelenggu dalam mind-set anti-komunis zaman perang dingin. Kepada beliau, PKM masih dianggap sebagai musuh sungguhpun perjanjian damai telah ditandatangani selama 20 tahun!
Dalam sebuah negara demokrasi, siapakah berhak untuk menegah orang lain daripada mengenang dan menyanjung pengorbanan dan perjuangan masa silam mereka yang membanggakan, atau bertafakur dan mengambil iktibar daripada pengalaman-pengalaman dan kejadian-kejadian lepas?
Tidak kira kamu seorang konservatif, beragama, liberal, radikal atau berlatarbelakangkan sebarang fahaman politik atau ideologi lain, kamu mempunyai hak-hak kemanusiaan terhadap kebebasan-kebebasan bersuara, pemikiran, kepercayaan dan keyakinan.
Dengan kata lain, bekas ahli-ahli PKM, termasuk Mat Amin, dan mereka yang masih percaya ada nilai-nilai positif dalam komunisme/Marxisme, atau apa-apa isme sekalipun, mereka juga berhak mempunyai blognya sendiri (seperti ruang siber menempatkan beribu-ribu blog seperti ini).
Mereka harus dibenarkan berblog, jika mereka hanya menggunakan komputer dan patuh kepada undang-undang siber negara kita, bukan melancarkan perjuangan bersenjata terhadap negara.
Kutukan Rais terhadap komunisme secara tuntas menjelang kunjungan rasmi Perdana Menteri Najib Razak ke negara komunis China adalah tidak wajar dan melanggar kesusilaan diplomatik, terutamanya apabila hubungan setiakawan dan ekonomi kedua-dua negara sedang meningkat ke tahap kerjasama strategik.
Menteri Pertahanan Dr Ahmad Zahid Hamidi juga tiba-tiba terhidu semacam ada usaha yang berbau komunis cuba hidupkan di negara kita. Saya tidak pasti gerangan apa yang dimaksudkan Zahid sebagai “ideologi dan nilai-nilai komunisme” yang amat abstrak itu.
Kini, kita hidup dalam dunia di mana semua ideologi dan nilai sedang mengalami perubahan yang pesat. Tanpa diberi definisi yang tepat, tuduhan beliau itu boleh ditafsirkan dengan sesuka hati untuk tujuan memomokkan orang ramai.
Bagaimanapun, jika sengaja dikaitkan pihak-pihak seperti Gerakan, DAP, PAS, PSM dan seterusnya – yang pernah mengakuri sumbangan PKM dalam memperjuangkan kemerdekaan negara kita – sebagai ingin menghidupkan semula komunisme di negara kita, maka mungkin Rais dan Zahid sendiri juga tidak percaya!
Zahid tidak setuju Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia, beliau berpendapat jika Chin Peng kembali, ia merupakan penghinaan terhadap keluarga hampir 50,000 anggota pasukan bersenjata penjajah British dan kerajaan Malaysia yang maut semasa era darurat di Malaya.
Bercakap bagi pihak British, bukan bagi pihak PKM yang memperjuangan kebebasan nasional, membuktikan Zahid mengabdikan diri kepada kepentingan penjajah.
Perlu juga Zahid menerangkan kenapa bilangan kematian pasukan bersenjata British dan kerajaan Malaysia diperbesar-besarkan sehingga 50,000, sedangkan ahli sejarah pernah menganggarkan jumlah itu kurang daripada 2,000 bagi anggota pasukan bersenjata British dan kerajaan yang gugur dalam perang, dan kematian pasukan PKM pula mencecah 7,000.
Dua perkara penting berikut perlu dijelaskan. Pertama, dalam mana-mana perang sekalipun, tentu ada kematian dan kesengsaraan bagi kedua-dua pihak yang terlibat, cerita satu pihak saja tentu tidak adil kepada pihak yang satu lagi.
Padahal, dalam perang berjangka panjang seperti dalam perang anti-Jepun, perang pembebasan anti-British dan perang saudara selepas British meninggalkan negeri kita, jumlah kematian pihak PKM sebenarnya lebih beberapa kali ganda berbanding dengan jumlah kematian pihak British dan kerajaan Malaysia.
Di samping itu, beribu-ribu ahli dan penyokong PKM telah digantung mati, dipenjarakan, diseksa dan dibuang negeri. Rumah-rumah penduduk desa dimusnahkan, dan mereka dipaksa untuk pindah ke khemah-khemah tahanan (kampung-kampung baru) di merata negeri.
Kenapa kesemua pengorbanan dan kesengsaraan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PKM dan penduduk-penduduk desa tidak disebut langsung oleh media-media arus perdana dan menteri-menteri berkaitan?
Yang kedua, kita perlu membezakan antara perang adil dengan perang tidak adil. Jelas sekali, perang anti-Jepun dan perang anti-British yang dilancarkan PKM adalah perang adil untuk mempertahankan negara dan rakyat.
Oleh itu, mereka adalah patriot tulen, jasa-jasa mereka yang membanggakan ini patut dicatat dalam buku sejarah di peringkat persekolahan kita. Mereka yang berperang sebagai proksi British tidak berhak untuk menuntut simpati daripada rakyat.
Mungkin kamu akan bertanya: kenapa PKM masih berperang selepas British meninggalkan Malaysia? Mereka sebenarnya terpaksa meneruskan perang kerana inisiatif mereka untuk mencapai perjanjian damai di Rundingan Baling pada 1955 telah digagalkan oleh penjajah British dengan meletakkan prasyarat PKM mesti menyerah diri.
Jawaban Chin Peng ialah: “Jika kamu menuntut kami serah diri, kami rela melawan hingga orang terakhir!” PKM padahal tidak meminta lebih daripada apa yang pernah Tunku Abdul Rahman tawarkan.
Saya petik daripada memoir Chin Peng yang telah diterbitkan:
“Memandang lurus merentangi dua meja, saya katakan, dulu Tunku pernah sebut jika perjuangan bersenjata kami dihentikan, parti kami akan diberi kedudukan setaraf agar kami dapat memperjuangkan kemerdekaan melalui cara perlembagaan. Namun syarat-syarat pengampunan sekarang tidak mengandungi perkara tersebut.” (alias Chin Peng, My Side of History, halaman 379)
Jadi, siapa yang harus disalahkan, Chin Peng atau Tunku?
2 ulasan:
boleh mintak permintaan cerita pasal 16 mei tak?
Jap ni 13 Mei ke 16 Mei?
Catat Ulasan